Oleh Daniel Lim
BELAIT, 15 NOV – Sebagai menandakan peristiwa penting bagi masyarakat India di Daerah Belait, Persatuan India Belait (IAB) telah meraikan Malam Deepavali 2022 dengan tarian berwarna-warni dan muzik yang meriah pada 5 November lalu yang diadakan di Dewan Utama Pusat Insani, Seria.
Hadir selaku tetamu kehormat sambutan berkenaan Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Alok Amitabh Dimri.
Acara tersebut juga turut dihadiri seramai 800 orang, bukan sahaja terdiri daripada masyarakat India dari seluruh Daerah Belait, bahkan koreografer, serta pasukan sokongan dan ahli-ahli jawatankuasa IAB.
Semasa acara berkenaan, beliau menekankan dalam ucapannya bagaimana komuniti berkumpul dalam acara sebegini selepas pandemik, ia merupakan kegembiraan yang besar untuk semua orang, terutamanya untuk kanak-kanak.
Dalam pada itu, sumbangan amal yang disampaikan oleh Presiden IAB, Salimo telah diserahkan kepada SMARTER Brunei, di mana beliau turut menyampaikan ucapan alu-aluannya yang menyentuh mengenai isu-isu yang dihadapi oleh seluruh dunia dan bagaimana ia mempengaruhi Brunei.
Acara tersebut diteruskan dengan sesi pembentangan aktiviti IAB oleh Naib Presiden IAB, Renjit Gopalakrishnan kepada tetamu kehormat dan orang yang hadir.
Dalam pembentangannya, Renjit Gopalakrishnan mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih bagi pihak persatuan kepada masyarakat tempatan dan masyarakat India yang lain di Brunei, yang telah tampil sepenuh hati untuk membantu golongan yang memerlukan semasa pandemik.
Seterusnya, sambutan diteruskan dengan persembahan tarian dan muzik pelbagai lagu tradisional dan Bollywood, dengan masakan India yang lazat turut dihidangkan semasa majlis berkenaan.
Sambutan berkenaan diakhiri dengan ucapan terima kasih yang disampaikan oleh Setiausaha Agung, Manoj Kumar Pant, di mana beliau meraikan kejayaan perhimpunan itu, sambil menyatakan bahawa Deepavali adalah salah satu perayaan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat India selepas lebih tiga tahun tidak menyambutnya disebabkan pandemik.