IAEA: Korea Utara sambung semula operasi reaktor nuklear

SEOUL, 30 OGOS – Korea Utara tampaknya sudah memulakan semula operasi reaktor nuklear utamanya untuk menghasilkan bahan bakar senjata, kata agensi atom PBB, ketika Korea Utara mengancam membesarkan senjata nuklearnya selepas diplomasi nuklear yang lama dorman dengan Amerika Syarikat.

Laporan tahunan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) merujuk kepada reaktor 5 megawatt di kompleks nuklear utama Korea Utara di Yongbyon, utara Pyongyang. Reaktor itu menghasilkan plutonium, salah satu daripada dua elemen utama untuk membina senjata nuklear dengan uranium diperkaya.

“Semenjak awal Julai 2021, terdapat indikasi termasuk pembuangan air penyejukan, konsisten dengan operasi reaktor,” menurut laporan IAEA bertarikh Jumaat. Laporan mengatakan terdapat indikasi operasi makmal radiokimia Yongbyon bermula pertengahan Februari sehingga awal Julai tahun ini. Ia mengatakan tempoh operasi konsisten dengan kempen pemprosesan semula yang diumumkan oleh Utara bagi pembuangan bahan bahan radiasi dari reaktor. Makmal itu adalah sebuah kemudahan di mana plutonium diekstrak dengan memproses semula rod bahan bakar yang dikeluarkan dari reaktor.

“Aktiviti nuklear Korea Utara terus menjadi kebimbangan serius. Lagipun, indikasi baharu operasi reaktor 5 megawatt dan makmal radiokimia adalah amat mengganggu,” kata IAEA.

IAEA belum lagi mendapat akses ke Yongbyon atau lokasi lain di Korea Utara sejak negara itu mengusir inspektor IAEA dalam 2009. Agensi itu mengatakan ia menggunakan imej satelit dan sumber maklumat terbuka untuk memantau perkembangan dalam program nuklear Korea Utara. – AP

Gambar fail 27 Jun 2008 serahan Xinhua menunjukkan menara penyejukan di kompleks nuklear Yongbyon, di Korea Utara. IAEA melaporkan Korea Utara tampaknya memulakan semula reaktor itu bagi menghasilkan bahan bakar senjata. –AP