Monday, October 2, 2023
23 C
Brunei

    -

    Ian dekati Cuba

    WASHINGTON, 26 SEPT – Ribut tropika Ian telah bertukar menjadi taufan Kategori 1 ketika ia menghampiri barat Cuba, menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS hari ini.

    “Ian menjadi taufan,” kata NHC dalam satu makluman, memberi amaran “kekuatan tambahan taufan dijangka berlaku hari ini.”

    Ribut itu bergerak ke barat laut menuju Cuba dan Kepulauan Cayman dengan angin berkelajuan 120 kilometer sejam (kmsj), kata NHC.

    Ia menambah, barat Cuba dijangka menerima kesan teruk ribut hari ini apabila ia membadai bersama ‘impak angin dan ribut kuat’.

    Penduduk di negeri Florida, AS juga bersiap sedia bagi ketibaan ribut, dengan NHC mengeluarkan pemantauan taufan bagi pantai barat negeri itu, termasuk Teluk Tampa.

    Imej bertarikh 25 September menunjukkan kerosakan yang disebabkan oleh Taufan Fiona di Kanada. – AFP

    Kelmarin, Gabenor Florida, Ron DeSantis mengisytiharkan darurat di semua 67 daerah ketika para pegawai bersiap sedia menghadapi ribut itu.

    “Jangkakan hujan lebat, angin kencang, banjir kilat, gelombang ribut dan juga puting beliung terpencil,” kata DeSantis kepada pemberita kelmarin.

    Gabenor menggesa penduduk supaya menyimpan bekalan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api serta bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan elektrik.

    DeSantis mengaktifkan 2,500 anggota Pengawal Kebangsaan untuk membantu usaha tersebut.

    Pihak berkuasa di beberapa majlis perbandaran Florida, termasuk Miami, Fort Lauderdale dan Tampa, mula mengagihkan beg pasir percuma kepada penduduk untuk membantu mereka melindungi rumah mereka daripada risiko banjir.

    Presiden Joe Biden meluluskan bantuan kecemasan kepada 24 daerah di Florida menerusi Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA).

    “Tidak terlalu awal untuk membuat persediaan,” kata Datuk Bandar Tampa Jane Castor dalam Twitter.

    Caribbean dan bahagian timur Kanada masih lagi menerima impak ribut kuat Fiona, yang melanda rantau itu minggu lalu.

    Fiona meragut tujuh nyawa ketika ia membadai Caribbean pada permulaan bencana selama seminggu.

    Apabila ia tiba di timur Kanada, ribut membawa angin kencang berkelajuan 130kmsj, membawa hujan lebat dan ombak setinggi 12 meter. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Ikan paus langgar bot, 1 maut, 1 cedera  

    SYDNEY, 1 OKT - Seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera selepas seekor ikan paus melanggar sebuah bot di luar pantai timur Australia, kelmarin,...

    Singa baham tuan