Ibadah di Masjidil Haram kembali normal

MEKAH, 15 SEPT – Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memaklumkan amalan harian dan ibadah secara normal sudah mula dibenarkan secara beransur-ansur di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Perkongsian video di Twitter oleh jabatan berkenaan melalui Bahagian Pengurusan Masjid Nabawi menyatakan keputusan turut diambil untuk menyediakan semula tong air zamzam bermula Selasa.

Langkah itu diambil selepas Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berpuas hati dengan tahap vaksinasi penduduk Mekah dan Madinah serta pematuhan jemaah terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam video berkenaan, pekerja dilihat mengedarkan sebanyak 600 tong dengan kapasiti keseluruhan 30 ribu tan air zamzam di seluruh Masjid Nabawi, Madinah.

Jabatan itu turut menempatkan semula mushaf al-Quran, membenarkan pengajian dan majlis ilmu diadakan secara bersemuka, mengurangkan penjarakan fizikal untuk menambah kapasiti solat berjemaah dan membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas hadir ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. – Bernama