Ibadah haji bermula 29 Julai

RIYADH, 21 JULAI – Ibadah haji pada tahun ini, yang dikurangkan kepada 1,000 jemaah Muslim tatkala Arab Saudi bergelut membendung penularan koronavirus, akan bermula pada 29 Julai dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat, kata pihak berkuasa semalam.

Pihak berkuasa negara itu mengumumkan ibadah haji yang sebelum ini biasanya dihadiri lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, dilaksanakan dalam suasana protokol kebersihan yang ketat dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

“Kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah jatuh pada 30 Julai,” menurut agensi berita SPA yang memetik daripada Mahkamah Agung bahawa Rabu ini adalah permulaan kepada ibadah tahunan itu.

Walaupun pegawai haji mengatakan bahawa ibadah haji terhad kepada 1,000 orang yang sudah berada di negara itu, 70 peratus daripadanya adalah orang asing dan yang lain dari Saudi, manakala beberapa laporan akhbar mengatakan bahawa 10,000 orang mungkin turut mengambil bahagian.

Manakala jemaah pula akan menjalani ujian COVID-19 sebelum tiba di Mekah dan diminta untuk kuarantin di rumah selepas selesai menunaikan ibadah haji, menurut pegawai kesihatan.

Liga Dunia Muslim yang berpusat di Arab Saudi dan Pertubuhan Kerjasama Islam turut menyokong langkah kerajaan demi kesihatan dan keselamatan jemaah. – AFP