Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibadah haji perlu ketelitian, kepekaan

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Mengerjakan ibadat haji bukanlah suatu perkara yang boleh kita pandang ringan dan diambil mudah kerana di dalam melaksanakan ibadah ini, sebetulnya perlu ketelitian dan kepekaan kerana suasana, cabaran dan dugaan di sepanjang mengerjakan ibadah ini lebih bersifat sukar untuk dijangkakan.

    Oleh itu, persiapan serta bekalan ilmu sebelum melaksanakan ibadah ini amat penting untuk didalami, difahami serta dihayati sesempurnanya dan perkara ini juga sudah setentunya termasuk persiapan dari segi kekuatan mental, fizikal dan rohani.

    Demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud semasa berucap pada Majlis Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji bagi Musim Haji Tahun 1438H/2017M, bertempat di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama di sini hari ini.

    Menurut beliau, kesempatan atau peluang menunaikan fardu haji pada tahun-tahun kebelakangan ini bolehlah dikatakan agak sukar dan ‘terhad’, khususnya disebabkan oleh kos perbelanjaan haji yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, dan juga disebabkan oleh jumlah kuota haji agak terhad.

    Berdasarkan kesukaran ini, berkemungkinan para jemaah haji akan dapat menunaikan fardu haji hanya sekali seumur hidup. Justeru beliau menyarankan agar guru-guru pengkursus mengikuti muzakarah itu semaksimumnya agar setiap ilmu yang dikongsikan dan permasalahan yang dibangkitkan dapat difahami dengan baik dan sempurna.

    Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan ucapannya di Majlis Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji bagi Musim Haji Tahun 1438H/2017M.
    Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika menyampaikan ucapannya di Majlis Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji bagi Musim Haji Tahun 1438H/2017M.
    Antara peserta-peserta yang hadir di Majlis Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji.
    Antara peserta-peserta yang hadir di Majlis Muzakarah Pengkursus Ibadat Haji.

    “Di kesempatan ini, saya juga ingin mengingatkan agar guru-guru pengkursus yang akan dilantik pada tahun ini agar dapat mengajar dan mendengarkan sendiri bacaan-bacaan setiap bakal jemaah haji kita bagi sama-sama memastikan mereka betul-betul dapat membaca dengan baik, sama ada ketika mereka dalam kumpulan mahupun bersendirian.

    “Jika mereka tidak mempunyai kemampuan atau tiada keupayaan untuk membaca doa-doa khusus sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, contohnya doa-doa ketika mengerjakan tawaf dan sa’ie, maka perlu bagi setiap guru pengkursus mengingatkan dan memberikan kefahaman agar menggantikannya dengan bacaan doa-doa ataupun zikir-zikir pendek yang mampu mereka baca.

    Hal seperti inilah yang perlu kita tekankan dan sentiasa ingatkan kepada para bakal jemaah haji kita,” tambah Dato Paduka Haji Abdul Mokti.

    Beliau yakin segala usaha, tunjuk ajar dan juga bimbingan guru-guru pengkursus itu nanti sudah setentunya akan dapat membantu para bakal jemaah haji menunaikan fardu haji dengan lebih teratur, sempurna dan InsyaAllah akan memperoleh haji yang mabrur.

    Beliau turut menasihatkan agar setiap persoalan dan permasalahan tersebut dirujuk terlebih dahulu kepada mereka yang lebih arif atau kitab-kitab yang menjadi asas dan sandaran umum di Negara Brunei Darussalam seperti buku-buku fatwa dan irsyad yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam atau buku-buku terbitan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama agar apa yang disampaikan selaras dan tidak menimbulkan kekeliruan kepada bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda