Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Ibadah korban dekatkan diri dengan Ilahi

    Oleh Nurdiyanah R.

    Bulan Zulhijjah merupakan bulan terakhir dalam takwim hijrah yang pastinya memiliki keistimewaan tersendiri, di mana seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha yang sekali gus begitu sinonim dengan pensyariatan ibadah korban.

    Dengan rahmat Ilahi, kesyukuran dipanjatkan kerana tanah air kita, Negara Brunei Darussalam diberi kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha meski pun dalam normal baharu dengan sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi menjaga keselamatan diri dan orang yang berada di sekeliling demi terus mengekang penularan COVID.

    Keindahan sambutan Hari Raya Aidiladha ini, lazimnya diserikan dengan laungan takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran kepada yang Maha Esa. Sambutan bermula dengan sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha secara berjemaah diadakan serentak di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dan diikuti dengan majlis-majlis ibadah korban.

    Pelaksanaan ibadah korban

    Menyentuh mengenai perlaksanaan ibadah korban itu hukumnya sunat Muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut dan digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam yang berkemampuan iaitu berkorban dengan menyembelih binatang ternak seperti unta, kambing, kerbau atau lembu pada waktu yang tertentu.

    Pelaksanaan ibadah korban itu hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.

    Sambutan Hari Raya Aidiladha bermula dengan sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha secara berjemaah diadakan serentak di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dan diikuti dengan majlis-majlis ibadah korban. – Gambar oleh Infofoto

    Dengan kata lain, Aidiladha yang disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun di mana perlaksanaan ibadat korban itu boleh dilakukan sama ada pada 10 atau 11 atau 12 atau sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah. Namun jika ibadah korban dilakukan sebelum dan selepas waktu tersebut maka tidaklah dikira sebagai ibadah korban.

    Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.

    Satu pengorbanan ketaatan kepada Allah SWT

    Apabila kita mengimbas kembali sejarah Islam semasa detik bermulanya tuntutan kemanisan ibadah berkenaan itu mengingatkan kita akan sejarah pergorbanan Nabi Ibrahim a.s yang hendak menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah SWT supaya berbuat demikian.

    Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, Allah SWT memerintahkan Baginda menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim a.s pun memberitahu isterinya, Siti Hajar, maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail.

    Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur sahaja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.”

    Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu daripada Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”

    Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim a.s pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim a.s hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan Baginda mungkin sudah tidak waras hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim a.s tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh yang Maha Pencipta terhadapnya.

    Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai di tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tetapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat pada leherku.”

    Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah SWT lalu menghunus pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim a.s. dan sebagai seorang manusia biasa, Baginda pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

    Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Ilahi kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat daripada Allah SWT.

    Hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban

    Saban tahun, dalam sama-sama mensyukuri kedatangan Hari Raya Aidiladha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama kerabat diraja dan ribuan umat Islam di negara ini melaksanakan ibadah korban sunat bagi Baginda dan kerabat Baginda, sejurus selepas sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha di salah sebuah masjid di ibu negara yang juga diadakan serentak di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara.

    Kemeriahan majlis-majlis ibadah korban juga tidak ketinggalan dilaksanakan oleh kebanyakan rakyat dan penduduk beragama Islam di negara ini di peringkat kampung, daerah, persatuan, agensi kerajaan mahu pun swasta serta secara persendirian antara ahli keluarga dan sanak saudara.

    Dalam pada itu, terdapat hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban itu, antaranya ialah sebagai tanda ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT dengan mengambil pedoman peristiwa sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s agar sentiasa bersikap sabar tanpa mengeluh dalam apa jua keadaan dan musibah yang berlaku dalam kehidupan dan sentiasa meyakini bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan daripadaNya.

    Selain itu, dengan melaksanakan ibadah korban ini, ia juga dapat memupuk sikap pemedulian dan prihatin terhadap masyarakat menerusi pengagihan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya. Amalan ini juga sekali gus dapat menghakis sifat tamak dalam diri di mana ia secara tidak langsung mampu mendidik diri untuk sentiasa bersyukur di atas segala nikmat rezeki yang dikurniakan iaitu dengan membelanjakan harta itu dengan sebaik-sebaiknya ke jalan yang diredhai Allah SWT.

    Manakala dalam aspek kemasyarakatan pula, apabila berlangsungnya majlis-majlis ibadah korban, ia mewujudkan sikap tolong-menolong antara ahli keluarga, saudara-mara dan juga sahabat-handai bahkan juga masyarakat Islam setempat yang sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.

    Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama muhasabah diri untuk memanfaatkan kelebihan rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada kita dan salah satunya dengan meraih ganjaran pahala dalam melaksanakan ibadah korban atas dasar keikhlasan dan ketakwaan kepadaNya. Indah langit kerana awan, indah laut kerana kebiruan, indah Aidiladha kerana pengorbanan, Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di mana pun berada.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...