Ibadah korban didik sikap dermawan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pelambayan dengan kerjasama MPK Dato Gandi petang hari ini, turut mengadakan majlis pengagihan daging-daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha

Tiga ekor kerbau telah dikorbankan dan daging-dagingnya diagihkan kepada 25 orang penerima yang terdiri daripada asnaf zakat dan anak-anak yatim.

Penyampaian agihan daging korban telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohd Yassin bin Haji Ahmad selaku tetamu kehormat.

Daging-daging korban turut diagihkan kepada penduduk di kedua-dua kampung.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis yang juga penghulu Mukim Kota Batu.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan laungan takbir Hari Raya diikuti bacaan doa sebelum ucapan alu-aluan daripada Pemangku Ketua Kampung Dato Gandi, Awang Harun bin Ahmad selaku pengerusi majlis yang antara lain berkata, ibadah korban dapat melatih dan mendidik umat Islam untuk bersikap dermawan kerana daging-daging sembelihan korban akan disedekahkan dan diagih-agihkan kepada golongan yang layak menerima.

Awang Mohd Yassin mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima. – Gambar Wani Roslan