Ibadah korban diteruskan lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Bagi menyemarakkan Sambutan Hari Raya Aidiladha, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Junjongan dan Jawatankuasa Takmir Masjid Junjongan tidak ketinggalan untuk melaksanakan ibadah korban di Kampung Junjongan, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MPK berkenaan, seorang hamba Allah telah bersedekah tiga ekor lembu untuk dikorbankan pada majlis berkenaan.

Ahli-ahli Jawatankuasa MPK Junjongan dan Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Junjongan telah mengagih-agihkan daging korban tersebut kepada penduduk kampung dengan menghantarnya terus ke rumah-rumah mereka.

Penghantaran diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Junjongan, Haji [email protected] Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Pemangku Ketua Kampung Junjongan serta ahli-ahli jawatankuasa MPK dan Takmir Masjid bergambar bersama daging-daging korban sebelum diagihkan kepada penduduk kampung.