Ibadah korban erat silaturahim

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk memupuk hubungan lebih baik dengan masyarakat di negara ini, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan majlis ibadah korban di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, lima ekor kerbau telah dikorbankan pada majlis berkenaan dan dagingnya diagih-agihkan kepada 15 buah keluarga terdiri daripada mereka yang kurang bernasib baik dan ahli keluarga penerima BIBD ALAF.

Dalam pada itu, BIBD juga telah menyumbangkan 50 buah buku Yasin sebagai wakaf kepada masjid berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Pegawai Operasi BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari bank berkenaan.

Terdahulu itu, majlis telah dimulakan oleh bacaan doa sebelum pengagihan daging korban kepada para penerima dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Imam Masjid Pehin Khatib Abdullah, Haji Mohammad Burhanuddin bin Haji Damit.

Haji Minorhadi menyampaikan daging korban kepada para penerima pada majlis pengagihan yang diadakan secara pandu lalu. – Gambar serahan BIBD