Ibadah korban satukan keluarga

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Seluruh umat Islam di Negara Brunei Darussalam tidak melepaskan peluang untuk meraih seberapa banyak ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT pada bulan Zulhijah ini, di mana lazimnya akan berlangsungnya majlis ibadah korban.

Selain pihak kerajaan dan swasta, sebahagian keluarga di negara ini tidak ketinggalan untuk berkumpul dan bersama-sama mengadakan majlis seumpamanya.

Setiap menjelangnya bulan Zulhijah, keluarga Hajah Maimunah binti Berudin berserta 12 orang anak dan lebih 60 orang cucunya akan berkumpul dan bergotong-royong bagi sama-sama mengadakan majlis korban.

Pada tahun ini, dua ekor kerbau dikorbankan untuk diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya. Melalui acara ini, ia mengajar para generasi muda untuk mengamalkan sikap muafakat bersama keluarga dan memperlihatkan kemuliaan serta keindahan dalam amalan berbagi, yang mana dapat memberikan keringanan kepada golongan yang memerlukan.

Di samping itu, ikatan tali persaudaraan dan kekeluargaan juga dapat dierat dan dikekalkan dalam usaha menyatupadukan kesemua ahli keluarga.

Suasana majlis korban yang diadakan oleh keluarga Hajah Maimunah.