Thursday, January 23, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibadah umrah, haji kini dibenarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan Kebenaran Perlaksanaan Ibadah Umrah dan Haji Tahun 1443H/2022M.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman mengongsikan keputusan Majlis Ugama Islam Brunei yang telah bersidang baru-baru ini pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    “Keputusan tersebut dibuat setelah mendengar pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan iaitu dari aspek-aspek kesihatan selain daripada Jabatan Mufti Kerajaan dari aspek hukum syarak berhubung kedudukan pelaksanaan ibadat umrah dan haji, mengambil kira keadaan suasana semasa situasi wabak COVID-19,” tambah Yang Berhormat Pehin.

    Jelas beliau lagi, kebenaran diberikan kepada jemaah Negara Brunei Darussalam untuk melaksanakan ibadah umrah pada masa ini dan tertakluk kepada ketetapan Jawatankuasa Pandu COVID-19 di negara ini mengenai kebenaran keluar dan masuk negara.

    Manakala itu, ibadah haji pula hanya akan dibenarkan tertakluk jika ketetapan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi mengenainya sudah diterima serta dengan melihat situasi terkini wabak COVID-19 pada musim haji tersebut, di samping ketetapan Jawatankuasa Pandu COVID-19 di negara ini mengenai dengan kebenaran keluar dan masuk negara.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani.
    Gambar fail ibadah haji pada permulaan pandemik di Mekah. Kebenaran untuk melaksanakan ibadah umrah pada masa ini diberikan kepada jemaah Negara Brunei Darussalam dan tertakluk kepada ketetapan Jawatankuasa Pandu COVID-19 di negara ini mengenai kebenaran keluar dan masuk negara.

    Sementara menunggu kerajaan Arab Saudi memberikan sebarang ketetapan atau pensyaratan berhubung kedudukan pelaksanaan ibadat haji pada musim haji tahun 2022, Yang Berhormat Pehin berkata, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama agensi-agensi yang berkaitan bolehlah membuat persediaan-persediaan awal mengenainya.

    “Bilangan jemaah haji akan ditentukan kemudian, sesuai dengan pertimbangan-pertimbangan khusus terutama sekali kesediaan dan kemampuan dalam mengendalikan jemaah haji dari aspek perubatan dan kesihatan semasa berada di tanah suci,” jelasnya.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya mengongsikan, enam buah syarikat pelancongan telah diberikan kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan pakej haji dan umrah bagi tempoh tiga tahun bermula 1443 Hijrah hingga 1445 Hijrah.

    Kesemua syarikat berkenaan telah menyatakan kesediaan untuk menjalankan perkhidmatan pakej dengan perancangan dan strategi masing-masing.

    Dalam hal ini juga, segala perancangan dan strategi yang disediakan hendaklah bukan saja selaras dengan ketetapan-ketetapan diberikan oleh kerajaan Arab Saudi tapi hendaklah sesuai dengan prosedur-prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam mengambil kira keadaan suasana semasa situasi wabak COVID-19.

    Syarikat pelancongan yang diberi kebenaran itu adalah Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd, Syarikat Straits Central Agencies Sdn Bhd, Syarikat Raudah Al-Amin Sdn Bhd, Syarikat Continental Yachting Sdn Bhd, Syarikat Dar El-Ehsan Travel & Tours Sdn Bhd dan Syarikat Al-Hijrah Travel & Tours Sdn Bhd.

    “Sehubungan itu, marilah kita berdoa semoga keputusan ini akan dapat terlaksana dengan sempurnanya untuk kesejahteraan dan keselamatan pergi balik bakal jemaah-jemaah umrah dan haji Negara Brunei Darussalam,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda