Tuesday, November 29, 2022
22.6 C
Brunei

-

Ibadat haji pupuk keakraban dalam kalangan jemaah

MEKAH – Menyembunyikan pangkat, jawatan dan taraf pendidikan menjadi satu daripada cara terbaik bagi memupuk keakraban dan hubungan harmoni dalam kalangan jemaah haji.

Perkara itu dikongsikan dua jemaah wanita yang merupakan doktor pakar dan pensyarah kanan apabila mereka perlu tinggal sebilik dengan empat wanita lain yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Dr Siti Norhafiza Mohamad Azmi, 35, pakar patologi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang berkata rahsia pekerjaannya hanya terbongkar beberapa minggu selepas tinggal sebilik dan ketika itu kesemua mereka telah akrab bagaikan adik-beradik.

“Saya tidak ‘membawa’ jawatan ke Tanah Suci. Di sini, kita sama sahaja dan itu tujuan kita menunaikan haji. Dalam bilik ini ada profesor, guru tadika, kerani dan ada juga tukang jahit… tetapi kita sama, daripada segi ilmu atau apa pun.

“Kesemua rakan sebilik juga akan saling membantu kalau ada perkara yang kita tak tahu.

Menyembunyikan pangkat, jawatan dan taraf pendidikan menjadi satu daripada cara terbaik bagi memupuk keakraban dan hubungan harmoni dalam kalangan jemaah haji. – Gambar ihsan Tabung Haji

“Pada saya, bersikap rendah diri akan membolehkan kita lebih akrab… apa yang berlaku sekarang adalah satu pengalaman yang menginsafkan,” katanya kepada pemberita di bilik penginapan jemaah haji di bangunan Abraj Al Janadriyah di sini.

Menurut Dr Siti Norhafiza, kesemua rakan sebiliknya bukan sahaja saling menjaga ketika sakit malah akan menunaikan solat berjemaah di bilik jika tidak berpeluang ke masjid selain sentiasa sepakat menyertai pelbagai program yang dianjurkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ditanya adakah beliau bersedia untuk bertugas sekiranya diperlukan TH, Dr Siti Norhafiza yang disifatkan seorang yang pemurah oleh rakan sebilik berkata: “Saya telah maklumkan kepada pegawai TH dan sedia berkhidmat terutama dalam urusan membabitkan COVID.”

Sementara itu, Prof Madya Dr Noriah Ismail, 50, pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat, Johor berkata apabila rahsia kerjaya mereka terbongkar, masing-masing hanya ketawa dan meneruskan rutin seperti biasa.

“Sepertimana rakan sebilik lain, saya tidak memikirkan tentang sebarang perbezaan… inilah peluang untuk kita beribadah. Tempoh lebih 40 hari agak lama dan saya rasa persamaan dan keserasian itu amat penting,” katanya.

Nora Jusin, 54, pula berkata beliau selesa dengan semua rakan sebilik dan dalam kebanyakan masa, mereka akan makan bersama-sama.

Lebih menarik apabila suami keenam-enam wanita tersebut juga tinggal sebilik yang berdekatan dengan bilik mereka sekali gus mencetuskan suasana harmoni.

Dilaporkan antara aduan yang diterima unit kaunseling ketika musim haji ialah gangguan emosi, masalah komunikasi antara suami isteri serta ketidakserasian antara rakan sebilik.

TH menyediakan khidmat kaunseling di setiap bangunan penginapan jemaah bagi membolehkan mereka membuat aduan dan mendapatkan khidmat nasihat agar mampu beribadah dengan selesa. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Taliban Pakistan tamat gencatan senjata

ISLAMABAD, 28 NOV – Taliban Pakistan berkata hari ini mereka telah membatalkan gencatan senjata goyah yang dipersetujui dengan kerajaan pada Jun lalu dan mengarahkan...
- Advertisment -