Ibra kembali pimpin Milan terajui persada liga

MILAN, 19 JAN – Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol selepas kembali beraksi bersama AC Milan selepas dua bulan diketepikan kerana masalah kecederaan untuk membantu menewaskan Cagliari 2-0 sekali gus kekal mendahului Serie A.

Ibrahimovic, 39, meraih gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-7 sebelum menambah gol keduanya pada separuh masa kedua di Sardinia.

Milan yang menyasarkan untuk memenangi kejuaraan liga kali pertama sejak 2011, kini mempunyai kelebihan tiga mata di atas Inter yang menewaskan juara bertahan, Juventus 2-0 di San Siro, kelmarin.

“Kemenangan ini membuktikan kami lebih baik berbanding Inter,” kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

“Kami semua mahu membawa Milan di kedudukan teratas semula. Pasukan akan melakukan segala-galanya sehingga penamat musim.

Reaksi penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic ketika meraikan jaringannya semasa perlawanan antara Cagliari dan AC Milan semalam di Arena Sardegna. – AFP

“Kini kami mempunyai perlawanan penting bertemu Atalanta pada Sabtu ini. Kami akan fokus kepada perlawanan itu dan kemudian pada bulan Mac dan April, sama-sama kita lihat di mana kedudukan kami.”

Ibrahimovic membuktikan bahawa dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dengan Milan telah menandatangani bekas penyerang Juventus dan Bayern Munich, Mario Mandzukic dalam usaha untuk memenangi kejuaraan liga.

Penyerang antarabangsa Sweden itu telah menjaringkan 12 gol dalam lapan perlawanan, termasuk satu gol pada 22 November lalu menentang Napoli, ketika dia mengalami kecederaan paha.

Milan tanpa Theo Hernandez dan pemain tengah mereka, Hakan Calhanoglu yang disahkan positif koronavirus.

Milan dengan cepat menguasai perlawanan setelah pemain pertahanan Cagliari, Charalampos Lykogiannis mengasari Ibrahimovic di kawasan petak penalti.

Ibrahimovic mengambil sepakan penalti tersebut yang biasanya diambil oleh Franck Kessie sebelum beliau mengalami kecederaan.

Penjaga gol Cagliari, Alessio Cragno berjaya menyelamatkan rembatan jarak jauh oleh Davide Calabria setelah 24 minit perlawanan dan percubaan pemain pertahanan itu juga terkena palang 10 minit kemudian. – AFP