HONG KONG, 12 Mei – Zlatan Ibrahimovic masih mampu bermain selama ‘bertahun-tahun lagi’, menurut pakar bedah yang menjalankan pembedahan ke atas lutut penyerang Manchester United berusia 35 tahun itu.
Bekas pemain antarabangsa Sweden itu menjalani pembedahan minggu lepas di Amerika Syarikat selepas mengalami kecederaan ligamen lutut yang serius.
“Dibaiki, selesai dan kuat,” kata Ibrahimovic selepas pembedahan selesai, yang dijalankan oleh pakar bedah kelahiran Hong Kong, Freddie Fu dan Volker Musahl.
Dan Fu, dalam satu temu bual dengan South China Morning Post kelmarin, memberikan pesakit senarai A itu penilaian yang memberangsangkan.
“Dia sangat sihat, kuat secara biologinya, morfologi tulang, segala-galanya, semuanya sangat sihat.
“Dia masih mampu bermain selama bertahun-tahun lagi.”
Fu, pengerusi jabatan pembedahan ortopedik di Universiti Pusat Perubatan Pittsburgh, telah menjalankan lebih 20,000 pembedahan lutut.
“Tetapi dia berkata Zlatan Ibrahimovic merupakan ‘antara atlet terunggul yang pernah dibedahnya, dia dalam tahap yang menakjubkan’.
Ibrahimovic berdepan dengan pemulihan jangka panjang dan dengan kontraknya bersama United dijangka berakhir hujung musim ini, masa depannya di kelab masih kabur.
Dia boleh dikatakan berjaya dalam musim pertamanya di United dengan menjaringkan 28 gol dalam 48 penampilan dan memberikan inspirasi bagi kemenangan pasukan Red Devils itu dalam menjulang Piala Liga. – AFP