Ibra rasmi tugu sendiri

MALMO, 9 OKT – Zlatan Ibrahimovic merasmikan tugu gangsa dirinya semalam yang terletak berhampiran stadium di mana dia memulakan karier profesional di kampung halamannya, Malmo.

“Tidak kira dari mana kamu datang, siapa diri kamu, tidak kira bagaimana rupa kamu, tugu ini adalah simbol tiada apa yang mustahil,” kata pemain bola sepak terkemuka Sweden itu yang turut menyifatkan tugu berkenaan sebagai ‘Di mana semuanya bermula’.

Ibrahimovic, yang pernah bermain bersama kelab Paris Saint-Germain (PSG) sudah pun mempunyai patung dirinya di muzium lilin Grevin di ibu negara Perancis.

Dia menunggu selama lima tahun untuk tugunya yang dihasilkan pengukir Sweden, Peter Linde dibina di Sweden.

Tugu berkenaan memiliki ketinggian 2.7 meter dan berat 500 kilogram. Ibrahimovic, yang ibu bapanya adalah pendatang dari Yugoslavia membesar dalam keadaan yang sukar di Rosengard, satu kejiranan di Malmo terkenal dengan pergaduhan ganas di antara kumpulan gangster.

Ibrahimovic bergambar di depan tugunya di Malmo selepas majlis perasmiannya kelmarin. – AFP

Kelab pertamanya adalah Malmo sebelum menyertai Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, PSG dan Manchester United serta ketika ini, LA Galaxy.

Ibrahimovic membina repu-tasi sebagai pemain yang memenangi gelaran liga selepas mengumpul 13 trofi sepanjang 16 musim di Belanda, Itali, Sepanyol dan Perancis tetapi satu daripadanya iaitu bersama Juventus dibatalkan.

Dia mendominasi skuad kebangsaan Sweden ketika tahun 2001 hingga 2016 dan memiliki 116 penampilan serta meledak 62 gol dan kekal sebagai ikon di negara berkenaan.

“Dia sebahagian daripada kami. Dia datang dari Rosengard dan menjadi raja bola sepak,” kata seorang peminat Ibrahimovic, Jaafar yang membesar di kejiranan berkenaan.

Ibrahimovic yang terkenal dengan kelantangan dan keangkuhannya sebelum ini pernah berkata jika pemilik PSG mahu mengekalkannya di Paris, mereka perlu memujuk bandaraya itu supaya ‘menukar Menara Eiffel dengan tugunya.’

Pada 2014 ketika Sweden gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia, dia berkata, “Piala Dunia tanpa saya tidak berbaloi untuk ditonton, jadi tidak perlu menunggu Piala Dunia.” – AFP