Ibrahimovic kembali ke Itali

MILAN, 12 MEI – Bintang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic kembali ke Itali semalam selepas dua bulan berada di negara kelahirannya, Sweden ketika Serie A bersedia menyambung latihan berpasukan dalam masa seminggu.

Ibrahimovic dilihat tiba di Milan sambil memakai penutup mulut dan hidung serta sarung tangan sebelum dibawa ke pusat latihan pasukan dekat Milanello.

Pemain Sweden itu dijangka menempuhi kuarantin dua minggu sebelum menyertai rakan sepasukan yang sudah menyambung latihan individu minggu lalu. Latihan berkumpulan dijadualkan bermula pada 18 Mei. Pemain berusia 38 tahun itu pulang ke Sweden pada 12 Mac lalu selepas saingan Serie A ditangguhkan kerana pandemik COVID-19 melanda seluruh Itali dan Eropah.

Ibrahimovic dilaporkan sibuk menjalani latihan di Sweden bersama pemain di Hammarby iaitu kelab divisyen satu yang sebahagiannya dimilikinya secara bersama.

Tidak seperti sebahagian besar negara di Eropah yang mengehadkan latihan atlet, peraturan di Sweden lebih longgar.

Bintang Serie A kebanyakannya sudah tiba ke pangkuan kelab masing-masing dengan penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo kembali ke Itali pada Isnin lalu dari negara kelahirannya, Portugal. – AFP

Gambar fail pada 17 April 2020 menunjukkan aksi Ibrahimovic ketika mengambil bahagian dalam sesi latihan yang diadakan di Tele 2 Arena, Stockholm. – AFP