Ibrahimovic setuju kekal bersama AC Milan

MILAN, 28 OGOS – Zlatan Ibrahimovic akan terus kekal bersama AC Milan musim depan selepas mencapai persetujuan dalam perjanjian baharu bernilai 7 juta euro tidak termasuk bonus, menurut beberapa sumber yang dilaporkan di Itali hari ini.

Ibrahimovic, yang akan menyambut ulang tahun ke-39 Oktober ini, hari ini memuat naik gambar dirinya di sosial media dengan memakai jersi AC Milan.

Penyerang Sweden itu turut memuat naik foto dirinya sedang berbaring santai dengan kapsyen, ‘Tenang sebelum ribut melanda.’

Gazzetta Dello Sport melaporkan bahawa Ibrahimovic dijangka akan kembali ke Milan menjelang musim baharu pada 29 Ogos, hari yang sama dia menyertai kelab pada tahun 2010.

Ibrahimovic menyertai semula AC Milan pada Januari lalu dengan kontrak selama enam bulan selepas meninggalkan Los Angeles Galaxy, dengan perjanjian bernilai 3.5 juta euro dengan pilihan untuk menyambung satu musim lagi.

Gambar fail reaksi Ibrahimovic semasa bermain bersama AC Milan musim ini. Ibrahimovic telah mencapai persetujuan dalam perjanjian baharu bernilai 7 juta euro bersama kelab tersebut. – AP

Bekas penyerang Manchester United, Paris Saint-Germain dan Barcelona itu telah memberikan impak besar, menjaringkan 11 gol daripada 20 perlawanan.

“Saya rasa bahawa kami semua telah melihat Ibrahimovic telah memainkan peranan penting dalam musim kami dan perkembangan kami,” kata CEO AC Milan, Ivan Gazidis pada minggu ini.

“Kami akan melakukan segala-gala yang kami mampu untuk melihat bahawa ia boleh diteruskan”.

Bekas juara Eropah sebanyak tujuh kali telah meningkat dari tangga ke-11 sejak ketibaannya ke kedudukan ke-6, menamatkan musim liga dengan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan.

Ibrahimovic membantu AC Milan dalam kejuaraan Serie A ke-18 yang terakhir pada 2011.

Dia turut memenangi tiga kejuaraan liga bersama Inter Milan dan dua kali bersama Juventus yang mana kedua-duanya telah dilucutkan disebabkan skandal menetapkan perlawanan ‘Calciopoli’.

Musim baharu Itali akan bermula pada 19 September nanti. – AFP