Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 14 Jun – Bersempena Sambutan Nuzul Al-Quran tahun ini, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC), hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi warganya.
Majlis yang berlangsung di Surau IBTE JBC, di sini, itu telah disertai oleh lebih 90 orang penuntut dan kakitangan kampus itu.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Jabatan Pengajian Islam, Pejabat Pengajian Islam Daerah Belait, Dayang Hazalina binti Dahlan. Turut hadir ialah Pengetua IBTE Satelit, Awang Norjemee bin Jenek, ketua-ketua sekolah, pengurus akademik, pengurus operasi, penolong pendaftar, ketua-ketua program dan imam-imam sembahyang Tarawih.
Antara tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk menyemarakkan serta memeriahkan sambutan memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran, selain untuk membudayakan warga kampus khususnya para pelajar dengan cara hidup beragama serta menanamkan rasa cinta kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.
Di samping itu, ia juga untuk mendokong konsep Negara Melayu Islam Beraja dan ke arah merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai Negara Zikir serta bagi membudayakan warga kampus dengan amalan membaca Al-Quran secara tadarus mahupun secara persendirian.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipimpin pelajar HNTec Kejuruteraan Instrumental dan Kawalan, Awang Muhammad Khairsyah bin Haji Othman.
Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim yang dipimpin oleh Pelajar HNTec Kejuruteraan Loji, Awang Amirun Hafiz bin Haji Burhanuddin, disusuli dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Muhammad Khairsyah bin Haji Othman dan Dikir Asyraqal yang dipimpin oleh Ketua Guru MIB, Awang Fahrurrazi bin Haji Awang Matali.
Majlis diakhiri dengan penyerahan sijil penghargaan dan cenderahati kepada imam-imam sembahyang Tarawih serta penyerahan cenderahati kepada jemputan khas dan seterusnya bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.