IBTE anjur Market Day

BELAIT, 3 DISMarket Day Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah diteruskan lagi di Kampus Jefri Bolkiah (JBC) yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini.

Perasmian acara berkenaan, kelmarin, telah disempurnakan oleh Pengetua IBTE Satelit, Awang Norjemee bin Jenek selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis pembukaan turut mendengarkan taklimat keselamatan yang telah disampaikan oleh Ketua HSE, IBTE JBC, Awang Mohammad Erman bin Haji Jais.

Di samping itu, acara turut menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan sijil penghargaan kepada semua syarikat yang terlibat dalam acara berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan IBTE, objektif acara ini adalah untuk menyediakan platform bagi para graduan untuk peluang pekerjaan yang bersesuian dengan kelulusan mereka dan untuk memudahkan proses bagi syarikat-syarikat untuk mencari calon yang berkebolehan untuk mengisi kekosongan dalam syarikat/ jabatan dalam organisasi.

Salah seorang pengunjung ketika mendengarkan penerangan daripada salah sebuah syarikat.
Awang Norjemee menyampaikan sijil kepada wakil salah sebuah syarikat yang terlibat dalam acara berkenaan. – Gambar-gambar serahan IBTE JBC

Syarikat-syarikat yang terlibat dalam acara berkenaan ialah Velosi Sdn. Bhd. KB Pusat, Hengyi Industries Sdn Bhd, Western Foods & Packaging Sdn Bhd, AKAtek Co., SAHID Sdn Bhd, Brudesh Engineering & Management Sdn Bhd, Nur Zafirah Engineering Sdn Bhd, Arus Sdn Bhd dan Syarikat Methanol Brunei.

Para graduan diharap dapat memanfaatkan peluang berkenaan sebagai platform akses kepada syarikat-syarikat manakala kepada syarikat-syarikat adalah salah satu akses dapat mencari calon berkebolehan untuk mengisi kekosongan dalam syarikat mereka khususnya bagi graduan dan belia tempatan semasa acara dijalankan.

Dengan cara ini juga dapat membantu memberikan perkerjaan kepada graduan-graduan dan orang awam yang belum berkerja di Negara Brunei Darussalam.

Dengan adanya Market Day ini, ia adalah salah satu inspirasi negara bagi mendukung Wawasan Brunei 2035 bagi menghasilkan sumbar manusia yang berkualiti untuk menghasilkan peluang pekerjaan bagi para belia tempatan khususnya bagi melahirkan para pekerja yang berkemahiran tinggi.