IBTE buka pendaftaran pengajian

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) kini membukakan pendaftaran untuk mengikuti pengajian mana-mana 46 program sepenuh masa di peringkat Diploma, HNTec dam NTec yang ditawarkan bagi kemasukan Julai 2020.

IBTE dalam kenyataannya di sini, hari ini, menjelaskan bahawa permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui sesawang http://ibte.edu.bn/tvecas dan tawaran dibukakan sehingga 29 Februari depan, berakhir pada pukul 4:30 petang. Sebarang pertanyaan mengenai proses permohonan bolehlah berhubung melalui e-mel, [email protected] atau hubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar, IBTE pada waktu pejabat melalui talian 242 2296.

Dalam pada itu, IBTE turut memaklumkan bahawa Hari Terbuka IBTE dijadualkan diadakan di kampus-kampusnya.

Pada 12 dan 13 Februari depan, ia akan diadakan di IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, IBTE Kampus Nakhoda Ragam, IBTE Kampus Mekanikal, IBTE Kampus Bisnes dan IBTE Kampus Sultan Bolkiah dari pukul 8:30 pagi hingga 4 petang.

Sementara itu, pada 13 dan 15 Februari, Hari Terbuka IBTE diadakan di Kampus Jefri Bolkiah dan Hari Terbuka IBTE Kampus Agro Teknologi pula bakal berlangsung pada 15 dan 16 Februari, juga pada waktu yang sama.

Kenyataan menyatakan, Hari Terbuka IBTE bertujuan untuk memberi peluang kepada para pemohon dan orang awam untuk melihat lebih dekat lagi mengenai kursus-kursus yang ditawarkan sekali gus dapat berinteraksi bersama tenaga pengajar dan pelajar IBTE.

Selain itu, perkhidmatan mendaftar secara online juga disediakan oleh pihak kampus masing-masing bagi membolehkan para pemohon membuat permohonan bagi program-program yang ditawarkan.