IBTE bukakan program bagi bulan Julai

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Dalam usaha untuk menggalakkan lagi anak-anak tempatan untuk menyambung pelajaran bagi meningkatkan kemahiran diri dan memberi nilai tambah, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) akan menawarkan program latihan NTec dalam kimpalan (industri minyak dan gas) bagi pengambilan pada bulan Julai.

Program tersebut adalah kolaborasi antara IBTE dan Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia (MISC) – Tenaga yang akan menjadi platform untuk menyediakan pengetahuan dan kemahiran dalam proses dan teknik kimpalan asas yang relevan dengan industri bagi melahirkan pengimpal yang berkualiti dalam industri minyak dan gas.

Program tersebut akan berjalan selama dua tahun dan akan dijalankan di IBTE Kampus Sultan Bolkiah di Seria, dan para pelajar akan menghabiskan masa selama 18 bulan dalam pembelajaran dan latihan berasaskan institusi dan penempatan kerja selama enam bulan.

Mereka yang layak untuk mendaftar bagi program tersebut ialah rakyat Negara Brunei Darussalam dan penduduk tetap. Syarat-syarat kemasukan ialah sekurang-kurangnya mempunyai keputusan lulus dalam dua mata pelajaran GCE ‘O’ (atau kelayakan yang sebanding) termasuk mata pelajaran Mathematics Syllabus D atau IGCSE Mathematics, dan mana-mana subjek Bahasa Inggeris.

Pemohon yang tersenarai pendek akan menjalani ujian kecergasan perubatan dan temu duga sebagai sebahagian daripada proses kemasukan dan pemilihan.

Untuk makluman, permohonan bagi program tersebut akan dibukakan dari 9 Jun 2020 sehingga 22 Jun 2020 (sehingga jam 4:30 petang). Para pemohon diminta untuk mendaftar secara dalam talian melalui www.ibte.edu/tvecas. Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi terus pembantu pendaftaran IBTE Kampus Sultan Bolkiah, di talian 3223342 atau melalui e-mel [email protected]