Oleh Yusrin Junaidi & Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga buah syarikat telekomunikasi di Sekolah Penerbangan IBTE, Kampus Sultan Saiful Rijal di ibu negara.
Tiga buah syarikat berkenaan ialah DST Communications Sdn Bhd, Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) dan Telekom Brunei Berhad (TelBru), di mana 14 orang pelajar telah mendaftar di bawah Program Skim Teknologi Telekomunikasi dan Teknologi Perantisan HNTec.
Kerjasama antara IBTE dan syarikat-syarikat berkenaan bakal memberi ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman dalam industri berkaitan dan latihan agar lebih berkemampuan dalam penyelesaian program.
Program perantisan ini mempunyai peluang untuk memaksimumkan pengalaman pembelajaran dan mengaplikasikan teori untuk berlatih dalam persekitaran kerja sebenar sebagai skim perantisan yang menggabungkan latihan berasaskan institusi dengan latihan ‘on-the-job’ bagi membolehkan pelajar memahami aspek praktikal dan teori kerja.
Antara yang hadir menandatangani MoU pagi tadi ialah Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Holliday; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Taylor dan Penolong Pengarah Urusan DST, Dayang Ramlah binti Haji Rabaha.



Turut hadir menyaksikan majlis penandatanganan MoU berkenaan ialah tetamu kehormat majlis, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Buruh, Haji Shariful Bahri bin Haji Sawas.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) juga selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Lim Kian Boon semasa menyampaikan ucapan menjelaskan, sejak penubuhan program yang pertama pada bulan Mei 2014, sejumlah 46 pelatih telah mendaftar masuk menyertai program telekomunikasi dan teknologi maklumat.
“Melalui skim perantisan ini, saya percaya ia akan memupuk perkongsian jangka panjang dengan industri untuk membantu melatih dan mempertingkatkan keperluan juruteknik mahir untuk membantu mengisi jurang dalam sektor telekomunikasi,” kata beliau.
Melalui skim perantisan ini juga, IBTE dapat menghasilkan graduan dengan pekerjaan yang relevan berdasarkan kemahiran seperti Perantisan Dwi-sistem Jerman, Perjawatan Program Perantisan Dwi-sistem IBTE yang membolehkan para pelajar memperoleh pendapatan semasa belajar.
“Perantaraan sistem dwi ini menyediakan cara yang berkesan untuk menghubungkan sekolah dengan dunia kerja serta mendedahkan mereka kepada persekitaran kerja semasa latihan,” ujar beliau.
Beliau juga berkata, melalui program berorientasikan tempat kerja seperti sistem perantaraan dwi sistem, pelatih boleh mengembangkan kemahiran mereka untuk memenuhi keperluan industri dan pasaran buruh. Ini seterusnya menghasilkan pekerjaan yang sangat mahir dan siap tenaga kerja.
Di samping itu, program ini merupakan salah satu daripada inisiatif untuk menyokong objektif negara dari segi pembangunan sumber manusia dan menggalakkan belia tempatan untuk mengambil peluang pekerjaan dalam sektor swasta selaras dengan Wawasan 2035.