Oleh Daniel Lim
Gambar oleh IBTE JBC
KUALA BELAIT, 9 Mei – Bagi membantu mengurangkan beban pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) buat pertama kalinya telah menjalankan ‘Projek Kasih 2017’ yang berlangsung di lobi pentadbiran utama kampus berkenaan, hari ini.
Dianjurkan oleh Unit Pengajian Teras (CSU) IBTE JBC, projek berkenaan menyaksikan lapan orang kakitangan dan 17 orang pelajar kampus berkenaan menerima sumbangan berupa pelbagai barangan keperluan asas dan banyak lagi, hasil kutipan daripada kakitangan kampus berkenaan.
Projek berobjektif untuk memberi bantuan kepada warga kampus, dengan yang menerima sumbangan berkenaan terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim serta pelajar-pelajar terpilih yang memerlukan bantuan.
Selain itu, projek bertujuan untuk mengetengahkan kepentingan melaksanakan aktiviti amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, terutamanya dalam persediaan bagi bulan Ramadan ini serta Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Pengumpulan makanan kering bagi sumbangan berkenaan telah dilaksanakan selama lima hari sebelum acara, bermula 29 April hingga 4 Mei dan pihak kampus berharap bahawa projek seumpamanya memberi peluang kepada warga kampus beramal dalam bulan Ramadan.
Majlis penyampaian sumbangan berkenaan telah dimulakan dengan bacaan Saiyidul-Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Pendidikan, Awang Mohd Isa bin Haji Mohd Shaipon diikuti dengan ucapan ringkas Pengetua Kampus Satelit IBTE, Awang Norjemee bin Jenek yang memuji projek tersebut.
Selepas ucapan, beliau menyempurnakan penyerahan ‘Projek Kasih 2019’ kepada kakitangan dan pelajar kampus berkenaan kemudian, majlis menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada Ketua CSU IBTE JBC, Hajah Suriani binti Haji Shuani.
Dengan kejayaan pertama projek berkenaan, IBTE JBC menyatakan hasrat dan harapan bahawa projek seumpamanya akan dilaksanakan lagi pada tahun mendatang dan dalam skala lebih besar, bukan sahaja untuk membantu warga kampus yang kurang berkemampuan tetapi juga memeriahkan lagi bulan Ramadan.