IBTE kibarkan bendera negara

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal telah mengadakan upacara menaikkan bendera hari ini sempena Hari Kebangsaan Brunei Darussalam ke-37 di tempat letak kereta di hadapan bangunan Pusat Sumber Pelajar.

Acara diadakan serentak di seluruh kampus IBTE yang dihadiri kakitangan dan pelajar masing-masing.

Di IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, acara menaikkan bendera dihadiri oleh Pemangku Pengetua IBTE Pusat, Awang Armi Durani bin Haji Durhman, penolong pendaftar, ketua sekolah, kakitangan dan pelajar institusi berkenaan.

Ia dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan sementara wakil Kesatuan Pelajar menaikkan bendera, diakhiri dengan bacaan doa oleh Haji Jaafar bin Yusof bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT untuk keselamatan, kesejahteraan dan keamanan serta keharmonian negara.

Upacara menaikkan bendera tahun ini yang dianjurkan oleh Jabatan MIB IBTE merupakan salah satu aktiviti sekolah untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan di samping memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelajar dan kakitangan IBTE.

Warga IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal semasa acara menaikkan bendera negara sempena Hari Kebangsaan ke-37. – Gambar serahan IBTE