Friday, December 2, 2022
23.8 C
Brunei

-

IBTE menuju institusi pendidikan teknikal dinamik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) sedang giat berusaha untuk menjadi institusi pendidikan teknikal yang dinamik merangkumi pembelajaran sepanjang hayat.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usahanya untuk mencapai visi IBTE dengan memberikan pendedahan kepada bakal graduan terhadap inisiatif-inisiatif yang sedia ada di dalam negara dan memberikan mereka bimbingan kerjaya melalui bengkel dan taklimat yang dikendalikan oleh rakan-rakan agensi dan industri.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Ketua Pegawai Ek-sekutif (Akademik), Awang Norjemee bin Jenek semasa Pelancaran Pesta Konvo sempena Majlis Konvokesyen IBTE ke-30 yang berlangsung di Sekolah Penerbangan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran pesta konvo berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dengan pelancaran turut dapat disaksikan secara langsung oleh tenaga pengajar dan pelajar di IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Seria.

Turut hadir ialah Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, penolong pengarah, pengetua, pengarah bahagian, ketua sekolah, pengurus akademik dan pengurus operasi, tenaga pengajar, kakitangan dan bakal graduan IBTE.

Awang Norjemee menyampaikan kata alu-aluannya semasa majlis pelancaran Pesta Konvo IBTE di Sekolah Penerbangan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal.
Haji Mohammad Nazri melawat dan diberikan penerangan mengenai pameran yang mempamerkan projek inovatif oleh bakal graduan dan para pelajar IBTE.
Antara bakal graduan IBTE yang menghadiri majlis pelancaran Pesta Konvo IBTE.

Awang Norjemee berkata bahawa Pesta Konvo berkenaan diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen IBTE ke-30 yang akan berlangsung pada 15 November nanti di mana seramai 1,784 graduan akan menerima sijil diploma, HNTec dan NTec.

Ia diharap akan dapat menjadi platform kepada bakal graduan untuk meningkatkan kemahiran mereka sama ada dalam mencari pekerjaan pada masa hadapan ataupun meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu pengetahuan mereka selepas tamat pengajian bersama IBTE, tambah beliau.

Setelah melancarkan pesta konvo berkenaan, Haji Mohammad Nazri dibawa untuk melawat ke petak-petak pameran dan gerai-gerai jualan di mana beliau diberikan penerangan dan melihat dengan lebih dekat projek inovatif bakal graduan serta daripada pelajar IBTE yang sedang mengikuti kursus pada masa ini.

Selain daripada itu, pelbagai aktiviti telah disediakan sepanjang pesta berkenaan dijalankan termasuk bazar, kempen derma darah, taklimat pra-konvokesyen dan bengkel bimbingan kerjaya oleh rakan industri.

Pesta Konvo IBTE yang julung kali diadakan itu dibukakan kepada orang ramai hingga 9 November ini.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

India sandang jawatan Presiden G20, Majlis Keselamatan PBB

NEW DELHI, 1 DIS – India menyandang jawatan presiden G20 dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mulai hari ini, lapor Sputnik. G20 ialah forum antara kerajaan...
- Advertisment -