Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kumpulan Syarikat-syarikat Seng Hoe Huat bagi Program Perantisan Dwisistem IBTE.
Penandatanganan berkenaan bertujuan untuk mengesahkan dan merasmikan Program Perantisan Dwisistem IBTE dalam bidang Juruteknik Automotif yang akan dijalankan tahun ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan majlis penandatanganan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
Pengarah IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam ucapan alu-alu-annya antara lain menjelaskan bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan, IBTE telah menjalin kerjasama bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi menyediakan modal insan berkemahiran sebagai pemacu bagi negara untuk merealisasikan wawasan negara menjelang 2035.
Dengan termeterainya MoU berkenaan, ia membawa jumlah penyertaan keseluruhan bagi rangkaian perantisan dwisistem bersama IBTE kepada 44 buah syarikat, jelas beliau yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Syarikat Seng Hoe Huat, Wong Hui Ting pula menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama itu akan menyatukan krew dan individu yang berfikiran sama serta berbakat yang akan menunjukkan semangat berpasukan, ditambah dengan sokongan, galakan, bimbingan di samping kreativiti yang diperoleh.
Menandatangani bagi pihak IBTE ialah Dr Haji Mohd Zamri dengan disaksikan oleh Pemangku Pengetua IBTE Sentral, Hajah Rohani binti Haji Mohammad Salleh.
Manakala itu, Kumpulan Syarikat Seng Hoe Huat diwakili oleh Wong Hui Ting, dan disaksikan oleh ahli Lembaga Pengarah, Jeremy Chung Yaw Chuan.
Empat buah anak syarikat Seng Hoe Huat yang menandatangani MoU itu adalah Seng Hoe Huat Auto Accessories Service Company; Auto Gadgets (AG) Company; Autopro Tyre Company; dan Momocorse Auto Company.
Pelajar IBTE yang mengikuti program perantisan berkenaan akan berpeluang untuk menimba pengalaman dan mempraktikkan pengetahuan yang dipelajari menerusi pengalaman kerja sebenar.
Pada masa yang sama, para pelajar akan memperolehi kemahiran yang diperlukan melalui pemantauan dan tunjuk ajar daripada pakar-pakar berpengalaman.
Dalam pada itu, IBTE mempunyai perancangan untuk menjalankan dua lagi Program Perantisan Dwisistem dalam bidang Professional Cookery and Services; dan Refrigeration and Air Conditioning pada tahun yang akan datang.