Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) memusnahkan rekod tanpa kalah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dalam Kumpulan ‘A’ Kejohanan Bola Sepak UBD 2021 bagi Institusi Pengajian Tinggi setelah meraih kemenangan 2-1 di Padang ‘A’ Kompleks Sukan UBD baru-baru ini.
KUPU SB memimpin Kumpulan ‘A’ sedang memburu kemenangan ketiga berturut-turut sementara IBTE yang sebelum ini bergelut mengejar kemenangan setelah dua perlawanan tanpa kemenangan.
Namun, perlawanan tidak berjalan seperti yang dijangkakan oleh KUPU SB selepas dikejutkan dengan jaringan awal pada minit keempat daripada pemain IBTE, Muhd Rahimin bin Abdul Ghani sebelum Shah Rizan bin Haji Mohd Reymoon menggandakan kedudukan pasukannya pada minit ke-25.
Salahuddin Al-Ayubi bin Haji Abas berjaya menjaringkan gol saguhati buat KUPU SB dan akur dengan kekalahan pertama mereka.
KUPU SB akan meneruskan perlawanan mereka menentang Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT) Selasa depan sementara IBTE akan berusaha membangun momentum mereka menentang Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) pada 12 Julai ini.
Pasukan Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) sejauh ini menjadi inspirasi dalam kejohanan ini setelah memenangi dua perlawanan pembukaan mereka menentang Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir, yang akan diadakan pada 24 dan 26 Julai ini, dengan perlawanan merebut tempat ketiga dan final dijadualkan pada 28 dan 31 Julai.
Perlawanan seterusnya akan menyaksikan LCB yang mencari kemenangan ketiga mereka dalam Kumpulan ‘B’ menentang Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).