IBTE rai dua pencapaian besar

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) hari ini telah meraikan dua pencapaian yang membanggakan apabila memperoleh Sijil ISO 21001:2019 Education Management System (EOMS) dan pengiktirafan IBTE Kampus Jefri Bolkiah sebagai Organisasi Latihan Pesisir Industri Petroleum bagi Kursus Latihan Keselamatan Industri Antarabangsa Minimum.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyaksikan penyampaian sijil ISO dan pengiktirafan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Sijil ISO disampaikan oleh Ram M Desai dari Bureau Veritas kepada Pemangku Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Hajah Mariah binti Abul Manaf. Sementara sijil pengiktirafan disampaikan oleh Hajah Mariah kepada Pengetua IBTE Satellite, Awang Norjemee bin Jenek.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Dayang Hajah Mariah dalam ucapannya di majlis itu antara lain menjelaskan bahawa dengan pensijilan tersebut, IBTE akan terus menunjukkan pengambilalihan dan pembangunan kecekapan melalui pengajaran, pembelajaran atau penyelidikan; meningkatkan tanggungjawab sosialnya dengan menyediakan pendidikan berkualiti yang saksama kepada semua pelajar dan khususnya kepada pelajar yang mempunyai keperluan dalam pendidikan khas dan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

Manakala ketika menyentuh kejayaan IBTE Kampus Jefri Bolkiah mendapat pengiktirafan untuk kursus-kursus antarabangsa, membuktikan keiltizaman berterusan yang ditunjukkan oleh IBTE serta komitmennya dalam memberikan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi terhadap para stakeholder dan pada masa yang sama memantapkan lagi reputasinya sebagai sebuah pusat cemerlang bagi latihan kemahiran.

Dengan adanya pengiktirafan global itu, ia merupakan salah satu langkah strategik oleh IBTE untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajarannya di samping memperbaiki tahap kebolehpasaran para graduannya dalam bidang industri minyak dan gas.

Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah menyaksikan penyampaian sijil ISO oleh Ram M Desai kepada Hajah Mariah. – Gambar oleh Muiz Matdani