Ibu, adik Antetokounmpo diberikan kewarganegaraan

ATHENS, 17 SEPT – Bintang NBA, Giannis Antetokounmpo berada di Greece bagi mengadakan perjumpaan dengan perdana menteri negara tersebut semalam dan satu acara khas diadakan bagi mengurniakan kewarganegaraan Greece kepada ibunya, Veronica dan adiknya, Alex.

Antetokounmpo, yang memimpin Milwaukee Bucks menjulang kejuaraan NBA pada Julai lalu, menghadiri acara tersebut di kediaman rasmi Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis.

Antetokounmpo, 26, dilahirkan di Athens, anak kepada migran Nigeria. Dia dianugerahkan kewarganegaraan Greece pada 2013, membolehkan dia untuk membuat perjalanan ke Amerika Syarikat dan menyertai Bucks setahun kemudian.

“Kami sentiasa merasa diri kami sebagai warga Greece, tetapi sekarang ia sudah disahkan secara rasmi dan kami gembira,” Antetokounmpo memberitahu wartawan selepas acara.

“Alex dan ibu saya sekarang secara rasmi warganegara Greece.”

Antetokoumpo juga terbang ke Greece pada Ogos lalu bersama adiknya Thanassis, dengan membawa trofi kejuaraan NBA. Dia membawa trofi tersebut ke Acropolis purba di Athens bagi membuat keraian bersama keluarganya. – AP

Giannis Antetokounmpo bersama perdana menteri Greece dan ibu serta adiknya, Alex, semasa acara penganugerahan kewarganegaraan yang berlangsung di kediaman rasmi perdana menteri, kelmarin. – AFP