Ibu, anak maut dihempap bangunan roboh

ROM, 25 JUN – Seorang wanita dan dua anaknya dihimpit hingga mati apabila sebahagian daripada sebuah bangunan roboh di utara Itali sementara anak ketiga, seorang budak lelaki berusia sembilan tahun, hanya memerhati dari jauh, lapor agensi berita Itali hari ini.

Kemalangan itu berlaku semalam di bandar Albizzate, pinggir bandar Milan, apabila birai hias hampir 70 meter panjang secara tiba-tiba jatuh dari bangunan satu tingkat, menghempap ke jalan raya.

Wanita itu, berasal dari Maghribi, dan anak lelakinya yang berusia lima tahun mati di tempat kejadian, sementara anak perempuan berusia 15 bulan, meninggal dunia di hospital kemudian, kata agensi berita ANSA.

Budak lelaki berusia sembilan tahun berada di seberang jalan apabila batu dan bata menghempap orang lain. Seorang wanita berusia 42 tahun juga cedera.

Pekerja mencari dan menyelamat mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan mayat dari runtuhan, kata laporan.

Bangunan lama itu menempatkan beberapa perniagaan. Sebuah bangunan ‘kembar’ yang termasuk sebuah pasar raya telah ditutup. – AFP