Ibu, anak selamat selepas 52 jam terperangkap

BEIJING, 10 MAC – Anak lelaki berusia 10 tahun dan ibunya telah diselamatkan selepas 52 jam terperangkap dalam runtuhan bangunan yang dijadikan kemudahan kuarantin koronavirus (COVID-19) di Tenggara China.

Video yang dikeluarkan oleh penyelamat menunjukkan kedua-dua mereka ditarik keluar dari tapak bangunan hotel yang runtuh pada Sabtu lalu. Lokasi ibu dan anak itu ditemui lewat malam kelmarin dan mereka diselamatkan sekitar tengah malam selepas tiga jam operasi menyelamat.

Hotel di bandar Quanzhou telah menjadi kemudahan kuarantin bagi mereka yang terdedah kepada koronavirus. Sementara itu, angka korban kejadian runtuhan di bandar Quanzhau itu juga meningkat kepada 20 orang.

Pihak berkuasa berkata, 10 lagi mangsa dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan bangunan tujuh tingkat itu.

Kementerian Pengurusan Kecemasan dalam satu sidang media berkata, 41 individu terselamat tetapi mengalami kecederaan.

Akhbar Quanzhou Evening News melaporkan bahawa hotel berkenaan dijadikan pusat kuarantin bagi menempatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke wilayah lain di China yang terjejas teruk akibat COVID-19. Bandar Quanzhou merekodkan 47 kes wabak berkenaan. – AFP