Ibu, anak terkorban dalam kebakaran

LYON, 10 Feb – Seorang wanita dan seorang kanak-kanak terkorban dalam satu kebakaran di timur bandar Lyon, dipercayai tercetus akibat letupan gas di sebuah kedai roti, menurut pihak berkuasa.

Kebakaran itu muncul beberapa hari selepas 10 orang terkorban dalam satu kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri Paris dan sebulan selepas satu letupan besar gas di pusat ibu negeri itu, yang menyebabkan empat orang terkorban di dalam sebuah bangunan yang juga menempatkan sebuah kedai roti.

Kebakaran di Lyon itu berlaku lewat semalam selepas letupan di dalam kedai roti yang terletak di aras bawah bangunan dua tingkat tersebut.

“Dua mayat ditemui, seorang wanita dan seorang kanak-kanak,” kata pendakwa raya awam Lyon, Nicolas Jacquet, dengan menambah bahawa polis kini menjalankan siatan bagi punca letupan.

Para saksi memberitahu AFP bahawa seorang lelaki mengalami kecederaan ringan selepas melompat dari tingkat dua, lelaki itu memberitahu bahawa isterinya yang mengandung dan seorang anaknya masih berada di dalam. Tiga orang pejalan kaki berdekatan juga mengalami kecederaan. – AFP

Anggota dan kenderaan bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian selepas sebuah kedai roti meletup sehingga menyebabkan kebakaran pada sebuah bangunan di Lyon. – AFP