Ibu ayam dipenjara, pelacur didenda

Oleh Fadley Faisal  

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Seorang ibu ayam telah dijatuhi hukuman penjara manakala tu seorang pelacur diperintahkan membayar denda susulan kesimpulan kes di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Terdahulu, mahkamah mengendalikan kes seorang perempuan warga Filipina, Melany Saludes Saguid yang berusia 28 tahun, pada 18 Oktober lalu. Dia mengaku bersalah atas dakwaan bersetuju melakukan hubungan seksual dengan bayaran $70 dan diperintahkan oleh Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof supaya membayar denda $1,000 atau berdepan penjara sebulan jika gagal membayarnya.

Pada masa yang sama, seorang lagi wanita warga Filipina berusia 62 tahun, Nur Sarimah binti Abdullah @ Carolina Cruz Franco menafikan dakwaan memperdagangkan Melany sebagai pelacur dan menggunakan sebahagian pendapatannya sebagai pelacur untuk perbelanjaan.

Hari ini, Nur Sarimah mengubah pengakuannya kepada bersalah terhadap dakwaan berkenaan dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan.

Menjatuhkan hukuman terhadap Nur Sarimah, Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu menekankan bahawa “Umumnya, undang-undang sangat ketat apabila berkaitan dengan wanita dan gadis. Mereka patut dilindungi dan bukan untuk dieksploitasi. Ini dapat dilihat daripada hukuman terhadap kesalahan-kesalahan ini, kebanyakannya membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.

“Saya berpuas hati, untuk menggambarkan keseriusan kesalahan-kesalahan ini, dan sebagai amaran kepada orang awam, hukuman penjara adalah sesuai,” mahkamah menyimpulkan.

Pendakwa Raya Nurul Husna Aqilah binti Haji Abidin mendedahkan kepada mahkamah bahawa Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei mendapat tahu mengenai kegiatan berkenaan dan menyerbu sebuah rumah pangsa di ibu negara pada 1:29 petang, 25 September lalu.

Pihak polis menahan Nur Sarimah di bilik tamu dan Melany ditemui dalam sebuah bilik bersama seorang lelaki.

Siasatan mendapati bahawa Nur Sarimah telah tinggal di rumah berkenaan sejak 2010 dan dia juga memperdagangkan dua wanita lain sebagai pelacur.

Melany, semasa serbuan itu, memberitahu polis bahawa dia telah menerima $70 daripada pelanggan dan memberikan $30 kepada Sarimah. Melany mengaku telah melayan 10 pelanggan sejak Ogos 2021, yang diaturkan oleh Nur Sarimah.

Pihak polis juga menemui bukti berkaitan pelacuran termasuk teks WhatsApp.