Ibu bapa diseru jangan percaya berita tidak sahih

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Orang ramai terutama ibu bapa perlu lebih peka dan merujuk kepada pihak berkaitan dengan berita yang tidak sahih lebih-lebih lagi mengenai vaksin yang digunakan untuk golongan kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menegaskan perkara itu ketika memberi respons terhadap berita palsu yang tular mengenai vaksin yang digunakan untuk golongan kanak-kanak sehingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa.

Menurut beliau, berita palsu terutama vaksin memang sering berlaku kerana terdapat ramai antivaksin dan apa yang ditekankan, “jika benar berita tersebut ia akan keluar dalam berita, lebih-lebih lagi berita luar negara”.

Sehubungan itu, ibu bapa tidak perlu mendengar atau mempercayai berita yang dikongsikan tidak sahih yang boleh menimbulkan cemas dan mengelirukan orang ramai.

Pada sidang media di Kementerian Kesihatan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan hasil daripada vaksinasi bergerak yang telah diadakan di Pangkalan Batu selama tiga hari yang mana hari ini, 244 orang telah tampil mendapatkan dos pertama.