HONG KONG, 23 FEB – Ibu bapa di Hong Kong yang dipisahkan daripada anak-anak mereka diuji positif koronavirus telah mencetuskan kemarahan awam berhubung ketidaksediaan hab kewangan itu dalam menangani wabak yang melanda bandar tersebut.
Beberapa ibu bapa telah mengadu tidak dapat menemani anak mereka di hospital sementara yang lain menghujani media sosial bagi menyuarakan kebimbangan dipisahkan jika mereka mendapatkan rawatan bagi diri mereka atau anak kecil mereka.
Pendedahan itu telah mencetuskan rasa terkejut termasuk kalangan profesional kesihatan.
“Jika seorang budak dikehendaki dirawat di hospital disebabkan COVID-19, ia seharusnya membenarkan seorang ibu atau bapa untuk menemaninya di bilik sama kecuali keadaan kanak-kanak itu sangat serius,” kata Siddharth Sridhar, seorang mikrobiologi di Universiti Hong Kong dalam Twitter.
“Dalam keadaan ketika ini, bersikap rasional dan penuh belas kasihan adalah lebih penting daripada segala-galanya,” katanya.
Laura, penduduk tetap kelahiran Britain berusia 32 tahun, memberitahu AFP yang anak perempuannya, Ava disahkan positif selepas dimasukkan ke hospital malam semalam kerana mengalami demam dan sukar bernafas.
Ava kini sudah stabil di unit rawatan rapi dan akan dipindahkan ke wad isolasi namun dia akan terpaksa pulih tanpa ibu bapanya kira-kira tujuh hari.
“Saya katakan akan sanggup tidur di koridor, lantai, di mana-mana,” katanya dalam tangisan.
Laura mengatakan ia sangat menyedihkan kerana anaknya baru berusia 11 tahun dan tidak terbiasa dengan keadaan sekeliling serta mudah cemas dengan perpisahan pada peringkat usianya ini. – AFP