SEREMBAN, 11 MAC – Ibu bapa kini dilihat lebih bersifat terbuka membenarkan anak-anak mereka divaksin, selepas kerajaan memberi pilihan menggunakan vaksin Comirnaty (Pfizer) atau vaksin CoronaVac (Sinovac).
Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Mawar Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi berkata langkah kerajaan membenarkan pemberian vaksin Sinovac, untuk Program Vaksinasi COVID-19 kepada Kanak-Kanak (PICKids) merupakan tindakan proaktif, selain memberi pilihan kepada ibu bapa tanpa sebarang diskriminasi.
“Mereka perlu mempercepatkan proses pengambilan vaksin kepada anak-anak sebagai langkah perlindungan, daripada wabak COVID-19.
“Saya berpendapat ibu bapa ini bukan tidak mahu anak mereka dicucuk (vaksin COVID-19) tetapi mereka takut, jadi kena ada orang yang boleh menjawab kerisauan dan kegusaran mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada PICKids di Pusat Perubatan Mawar di sini hari ini.
Beliau berkata sebelum ini kebimbangan ibu bapa kerana mereka tidak mendapat maklumat yang tepat tentang keselamatan atau kesan sampingan selepas anak divaksin.
Beliau berkata ia juga disebabkan segelintir ibu bapa kurang memahami maklumat yang diberikan, sebaliknya terpengaruh dengan maklumat menerusi TikTok, Instagram dan Facebook.
“Secara keseluruhan ibu bapa mahu melindungi anak mereka, tetapi pihak berwajib perlu memberi jawapan yang meyakinkan tentang risiko vaksinasi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mula menawarkan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vakin (PPV) terpilih bagi PICKids bermula 7 Mac, dan diberi pilihan untuk mendapatkan vaksin Sinovac kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju memberikan pelalian jenis Pfizer. – Bernama