Ibu bapa, penjaga bersyukur anak terima vaksin

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 11 NOV – Ibu bapa dan penjaga kepada pelajar berusia antara 12 hingga 17 tahun yang menerima suntikan vaksin dos pertama rata-rata menzahirkan kesyukuran dan lega apabila anak-anak mereka diberikan suntikan vaksin COVID-19 tersebut bagi sama-sama melindungi diri daripada ancaman wabak COVID-19.

Program vaksinasi kebangsaan bagi pelajar-pelajar berumur 12 hingga 17 tahun di seluruh negara yang memasuki hari keempat pada hari ini menyaksikan kelancaran program yang dijalankan bermula dari proses pendaftaran sehinggalah selesai vaksinasi berkenaan.

Tinjauan yang dilakukan oleh wakil Media Permata pada hari ini di pusat vaksinasi Daerah Tutong yang bertempat di Dewan Seri Kenangan, Pekan Tutong telah mendapati penjadualan yang diaturkan lebih awal bagi para pelajar menjadi faktor yang membantu kelancaran proses vaksinasi dijalankan mengikut senarai sekolah.

Salah seorang bapa pelajar yang ditemui pada pagi tadi, Awang Mohd Nor bin Haji Nordin yang menemani dua orang anaknya telah menzahirkan kesyukuran dan memuji program vaksinasi bagi para pelajar yang sudah semestinya sedikit sebanyak menjamin keselamatan anak-anaknya, terutama sekali apabila persekolahan dibuka semula nanti.

“Alhamdulillah kesemua proses vaksinasi pada hari ini berjalan dengan cukup baik dan lancar dan hanya memakan masa lebih kurang satu jam sahaja,” jelas Awang Mohd Nor lagi.

Sementara itu salah seorang anaknya yang ditemu bual, Awang Nuraiman yang bersekolah di Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong turut menyatakan bahawa dirinya tidak merasakan sedikit pun gementar untuk mendapatkan suntikannya pada hari ini. Di samping itu, Awang Nuraiman juga menyatakan bahawa dia tidak merasakan sebarang kesakitan semasa disuntik dan merasa baik-baik sahaja setelah menerima suntikan berkenaan.

Bagi Awang Zairol Kamry yang juga mengiringi anak lelakinya, Awang Mohd Nur Irsyad Mirza dari Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong untuk mendapatkan suntikan vaksin turut berkongsi pandangannya mengenai program vaksinasi kebangsaan bagi pelajar-pelajar berumur 12 hingga 17 tahun di seluruh negara.

Dengan adanya pemberian vaksin ini, beliau bersyukur kerana ia dapat memberikan peluang kepada anaknya untuk keluar ke kedai dan sebagainya apabila sudah melengkapi dua dos suntikan vaksin ketika negara beralih ke fasa peralihan ataupun endemik nanti.

Sebagai seorang bapa, jelasnya menjadi tanggungjawab bagi dirinya untuk menenangkan anaknya lebih-lebih lagi apabila anaknya berasa gementar dan cemas sebelum menerima.

Salah satu cara yang dilakukannya adalah dengan bersama-sama memperbanyakkan membaca doa dan memberikan dorongan semangat serta nasihat kepadanya.

Awang Mohd Nor dan anaknya Awang Nuraiman ketika ditemui pihak Media Permata.
Suasana program vaksinasi bagi para remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Pekan Tutong.