Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu bapa penuntut di Mesir diminta bertenang

    KUALA LUMPUR, 1 MEI – Ibu bapa penuntut di Mesir dinasihatkan bertenang dan tidak terburu-buru untuk membawa anak-anak mereka pulang ke tanah air, kata Duta Malaysia ke Mesir Mohd Haniff Abd Rahman.

    Beliau berkata tiada keperluan mendesak ketika ini, kerana Mesir juga melaksanakan langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 dan keadaan masih terkawal berbanding negara lain.

    Katanya, pihak kedutaan sentiasa bersama-sama membantu pelajar menghadapi pandemik dan mengharapkan ibu bapa sentiasa memberi sokongan serta berdoa agar semuanya berada dalam keadaan baik dan tenang serta lancar.

    “Selagi pelajar serius mematuhi arahan Kedutaan Malaysia di Kaherah (KBMK) dan sentiasa amalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta elak berada di kawasan berisiko tinggi, insyaAllah semua akan selamat.

    “KBMK sentiasa memantau keadaan pelajar Malaysia di Mesir dan berhubung rapat dengan mereka dari semasa ke semasa melalui pejabat Education Malaysia Egypt (EME) dan wakil Atase Pendidikan negeri untuk memastikan keselesaan dan keperluan harian mereka dijaga,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Haniff berkata penuntut turut menerima bantuan bekalan makanan, minuman serta lain-lain keperluan asas yang disumbangkan kerajaan, Majlis Agama Islam dan Pejabat Zakat negeri masing-masing melalui Atase Pendidikan.

    Berdasarkan rekod KBMK, ada seramai 10,360 rakyat Malaysia di Mesir dan 10,160 daripadanya pelajar yang menuntut di tujuh universiti tempatan, selebihnya pegawai kedutaan, tenaga kerja mahir dan keluarga masing-masing. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda