SEBAGAIMANA yang kita tahu, kesihatan merupakan aspek yang paling penting dalam kehidupan. Jika kesihatan seseorang berada pada tahap yang tidak baik, maka pelbagai perkara akan tergendala. Aktiviti harian juga boleh terganggu.
Oleh sebab itu, wajarlah sekiranya kita mendidik anak-anak untuk menjaga kesihatan sejak kecil. Setiap anggota badan perlu diambil perhatian kerana setiap anggota badan ada fungsinya.
7 tip penjagaan kesihatan kanak-kanak dan anak damit yang ibu bapa perlu tahu
Berikut adalah tip penjagaan kesihatan kanak-kanak dan anak damit yang perlu dipraktikkan oleh setiap ibu bapa:
1. Rambut



Kebiasaannya anak damit yang beragama Islam dicukur rambutnya selepas beberapa hari kelahirannya. Ini dipercayai bertujuan untuk menjadikan rambut lebih lebat dan cantik apabila tumbuh semula kelak.
Rambut anak-anak yang kerinting adalah sukar diurus dan memerlukan penjagaan rapi. Gunakan syampu khas untuk rambut kerinting.
Rambut kerinting juga memerlukan sikat yang sesuai agar mudah diurus. Kepada ibu-ibu yang menghadapi masalah rambut anak yang berkutu, pastikan penggunaan ubat kutu dan syampu kutu tidak diabaikan.
2. Mata
Penjagaan mata sangat penting untuk mengelakkan anak-anak daripada rabun. Anak-anak yang ada masalah penglihatan akan mengganggu pembelajaran mereka. Pastikan anak-anak tidak membaca atau menonton televisyen dalam keadaan gelap.
Nasihati juga mereka supaya jangan menonton televisyen terlalu dekat. Pemakanan yang boleh diamalkan untuk membantu kesihatan mata adalah seperti lobak merah, bayam dan kalian.
3. Gigi
Gigi yang cantik datangnya daripada gigi yang sihat. Latih anak-anak menggosok gigi sejak awal tumbuh gigi. Gunakan berus gigi yang bersesuaian dengan umur. Ganti berus gigi setiap enam bulan. Ibu bapa digalakkan untuk membiasakan anak-anak dengan doktor pergigian sejak kecil agar perasaan takut mereka dapat ditangkis. Bawa anak-anak untuk pemeriksaan karies gigi dan gusi secara berkala. Larang atau hadkan makanan yang boleh merosakkan gigi anak-anak.
4. Kuku
Kuku merupakan salah satu anggota yang terbuka. Kuku yang panjang dan kotor menggambarkan tahap kebersihan seseorang.
Oleh yang demikian, pastikan kuku anak-anak anda sentiasa bersih dan pendek. Untuk anak damit, cuba usahakan untuk memotong kuku anak damit setiap tiga hari kerana kuku anak damit cepat panjang dan tajam.
Anak-anak harus dilarang bermain kotor kerana kekotoran boleh melekat di celah kuku jika tidak dibersihkan dengan sempurna. Dalam Islam, disunatkan untuk memotong kuku pada hari Jumaat.
5. Kulit
Anak damit dan kanak-kanak mempunyai kulit yang cantik dan gebu pada asalnya. Namun, jika penjagaan kulit tidak diterapkan, kulit akan rosak terutamanya untuk kulit yang sensitif.
Ketahui dan fahami jenis kulit anak-anak. Kerapkan penggunaan losyen untuk melembabkan kulit. Jika terdapat ruam, pastikan diubati dengan segera supaya tidak merebak dan sukar untuk dipulihkan kemudian.
Ibu bapa boleh memberikan makanan yang bersumberkan vitamin C kepada anak-anak untuk menjaga kesihatan kulit mereka. Contohnya seperti buah mangga dan buah oren yang kaya dengan vitamin C.
Sinaran mentari pada waktu pagi yang mengandungi vitamin D juga baik untuk kulit bukan sahaja anak-anak malah kepada orang dewasa juga.
6. Telinga
Telinga adalah salah satu anggota badan yang sering diabaikan. Ini mungkin kerana terlupa ataupun merasakan penjagaan kebersihan telinga merupakan sesuatu yang rumit. Selepas mandi, pastikan seluruh kawasan telinga termasuk di dalam dan di belakang telinga dilap sehingga kering. Kemudian, buang kekotoran yang ada di dalam telinga dengan menggunakan putik kapas.
Lakukan pembersihan telinga anak-anak secara berkala terutamanya semasa mandi dan selepas mandi.
7. Tangan dan kaki
Dalam menjaga kebersihan diri, anggota yang banyak melakukan aktiviti seperti tangan dan kaki mestilah bersih. Latih anak-anak untuk mencuci tangan sebelum makan atau selepas bermain. Pastikan juga kaki mereka dicuci dengan bersih selepas pulang dari aktiviti luar.
Gunakan sabun berantiseptik untuk mengelakkan jangkitan kuman. Sabun tangan dan kaki anak-anak degan sempurna. Ibu bapa boleh juga menyediakan cecair pencegah kuman di rumah supaya kebersihan ahli keluarga lebih terjamin.
Penjagaan kesihatan kanak-kanak penting untuk pembentukan sahsiah mereka
Anak-anak yang telah terdidik dan terlatih sejak kecil akan terbiasa dengan tabiat menjaga kebersihan sehingga dewasa.
Walaupun berada di era teknologi, namun kuman dan penyakit tetap wujud. Oleh sebab itu, kita perlu mengambil langkah yang bijak untuk menjaga kesihatan bermula di rumah. Mencegah lebih baik daripada merawat.
Tip penjagaan kesihatan kanak-kanak dan anak damit ini bukan bermaksud hanya mereka yang perlu menjaga kebersihan. Tetapi jkita sebagai orang dewasa juga perlu menunjukkan contoh tabiat yang baik kepada mereka. Tidaklah seperti ketam mengajar anak berjalan pula nanti. – Agensi