Ibu bapa perlu mengetahui aspek keselamatan di rumah

KETIKA bersantai di rumah tiba-tiba si kecil yang baru saja berusia dua tahun batuk dengan kuat. Semakin lama batuknya menjadi perlahan diikuti kesukaran untuk bernafas. Sebagai ibu tentu anda panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Untuk dibawa ke hospital tentu saja memakan masa tambahan pula kesesakan jalan raya pada waktu puncak ketika semua orang mahu pulang ke rumah.

Dalam keadaan begini memberikan bantuan kecemasan ketika di tempat kejadian adalah sangat penting bagi menyelamatkan nyawa si kecil. Di sinilah pentingnya penjaga mengetahui jenis pertolongan yang boleh diberikan ketika berlaku kemalangan di rumah.

Menurut Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan, Pusat Perubatan Sri Kota di Klang Dr K Sashetheran Nadaraja, tersedak susu, terjatuh dalam bilik air, lebam, tercedera akibat terpijak mainan dan melecur antara kemalangan yang kerap berlaku di rumah.

Walaupun rumah dikatakan tempat paling selamat, tanpa disedari banyak kemalangan membabitkan anak damit dan kanak-kanak berlaku di kediaman sendiri. Lebih malang ada kecederaan yang mengancam nyawa dan membawa kecacatan seumur hidup.

Dalam hal ini pentingnya ibu bapa atau penjaga mengetahui aspek keselamatan dan bantuan kecemasan seperti peti kecemasan lengkap dengan ubat-ubatan dan boleh digunakan apabila berlaku kemalangan. Namun berapa ramai ibu bapa tahu cara mengendalikan anak damit tersedak susu atau tercekik makanan sebelum menghantar anak ke hospital?

“Hakikatnya ramai ibu bapa panik dan tidak tahu apa yang perlu didahulukan apabila anak tercedera misalnya tangan melecur akibat terkena seterika. Akibatnya mereka membiarkan si anak menangis kesakitan atau memberikan bantuan yang tidak sepatutnya iaitu dengan meletakkan ubat gigi atau tepung pada hal ia lebih memudaratkan.

“Memberikan bantuan kecemasan yang betul mampu mengurangkan risiko kecederaan menjadi lebih teruk malah dalam sesetengah keadaan ia dapat menyelamatkan nyawa anak damit dan kanak-kanak,” katanya.

Kata Dr K Sashetheran, sepanjang bertugas di unit kecemasan, dia berdepan pelbagai kemalangan setiap hari. Antaranya luka akibat terjatuh, kecederaan mata dan kepala serta melecur. Semua kemalangan ini mampu dielakkan sekiranya pemantauan lebih kerap dilakukan di rumah.

“Kanak-kanak memang sifatnya suka meneroka dan akan mencuba apa saja yang dirasakan menyeronokkan. Mereka juga melihat perlakuan ibu bapa dan ada kala meniru. Jadi bagi mengelak perkara buruk berlaku pastikan si kecil bersama orang dewasa setiap masa. Selain itu persekitaran juga turut menyumbang kepada kebanyakan kes kemalangan di rumah.

“Misalnya permainan rosak yang tidak dibuang, lantai licin dan ubat-ubatan diletakkan di tempat tidak sepatutnya antara perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Kanak-kanak boleh alami kecederaan melecur pada badan akibat terkena objek panas seperti air panas, seterika, cerek elektrik, rokok atau api yang sedang menyala di dapur. Untuk rawatan awal melecur akibat terbakar sama ada terkena air panas, caranya mudah saja. Alirkan air sejuk pada bahagian melecur selama 20 hingga 30 minit. Buangkan bahagian kain menutupi kesan terbakar bagi mengelak ia melekat pada kulit. – Gambar hiasan
Apa yang penting, pastikan menyimpan ais di rumah kerana ia boleh digunakan untuk merawat bengkak dan belajar teknik asas bantuan kecemasan seperti bantuan pernafasan (CPR) dan cara merawat pendarahan. – Gambar hiasan

Jenis kemalangan di rumah

Sebelum mengetahui jenis pertolongan cemas, ada beberapa jenis kemalangan yang biasa berlaku di rumah dan wajar diberikan perhatian. Antaranya:

1. Tercekik atau tersedak susu

Tercekik boleh berlaku kepada kanak-kanak yang sudah pandai mengutip barang yang ditemui di lantai antaranya kacang, duit syiling, manik, plastik, butang atau permainan kecil. Tersedak susu pula biasanya dialami anak damit di bawah usia setahun dan boleh dielakkan menerusi teknik penyusuan yang betul. Apa yang membahayakan apabila bantuan kecemasan tidak diberikan dengan cepat sehingga menyebabkan saluran pernafasan tersumbat dan boleh membawa maut.

2. Terbelit wayar atau tali

Alat pengecas telefon bimbit, tali langsir dan bidai serta mainan bertali boleh membahayakan anak damit apabila terbelit pada leher. Misalnya anak damit yang sedang merangkak terbelit wayar pada leher mereka dan tiada ibu bapa yang boleh melepaskan ikatan ini. Jika dibiarkan ia menyebabkan anak damit sukar bernafas dan membawa maut.

3. Melecur

Kanak-kanak boleh alami kecederaan melecur pada anggota badan akibat terkena objek panas seperti air panas, seterika, cerek elektrik, rokok atau api yang sedang menyala di dapur. Memberi makanan yang masih panas seperti bubur nasi juga adalah perkara yang jarang diberikan perhatian tetapi boleh berlaku kepada anak damit dan kanak-kanak namun ia lebih kepada kecuaian ibu bapa.

Pastikan makanan itu dirasa terlebih dulu bagi mengelak mulut atau tangan anak damit melecur. Ibu bapa juga harus memantau sama ada si kecil mempunyai alahan terhadap makanan diambil dan memastikan kebersihan sebelum memberikan makanan kepada si kecil.

4. Terjatuh

Terjatuh boleh dimasukkan dalam pelbagai kategori iaitu jatuh dari tempat tinggi seperti katil, buaian, sofa atau almari, terjatuh akibat lantai licin dan terpijak permainan. Sering juga berlaku adik terlepas daripada dukungan abang atau kakak. Bagi anak damit, ia boleh menyebabkan kecederaan pada anggota badan, organ dalaman dan pendarahan otak. Lebih serius ia menyebabkan kecacatan atau patah pada bahagian tertentu. Pastikan lantai bersih daripada sebarang permainan dan tidak licin.

Bagi kecederaan akibat terjatuh basikal, pastikan ibu bapa memantau keadaan anak. Adakah si kecil berasa sakit pada bahagian perut atau tulang rusuk akibat terkena pemegang basikal. Adakah ia hanya kecederaan pada bahagian luar tanpa membabitkan luka dalaman.

5. Keracunan akibat ubat-ubatan dan barangan kimia

Pastikan ubat-ubatan dan produk rumah diletakkan di tempat yang sukar dicapai kanak-kanak. Elak meletakkan ubat di dalam peti sejuk bagi memungkinkan si kecil terminum. Pastikan semua ubat masih ada tarikh luput. Untuk selamat buang semua ubat selepas melebihi sebulan penggunaan.

Produk beracun seperti pembersih lantai dan bilik air diletakkan di tempat berkunci atau sukar dicapai anak-anak. Bagi anak-anak yang pandai mandi sendiri didik mereka untuk membezakan produk beracun seperti syampu dan mandian yang membahayakan kesihatan sekiranya terminum.

6. Lemas

Lemas tidak hanya dalam kolam renang sebaliknya baldi, besen bekas mandian berisi air dalam paras satu pertiga turut menyumbang kepada kejadian lemas di rumah. Bagi anak damit yang baru saja pandai merangkak atau bertatih, sedikit air saja boleh membuatkan mereka lemas apabila anak damit tidak dapat mengangkat kepala dan cuba keluar daripada bekas itu.

Selain itu anak patung, selimut dan bantal turut menyumbang kepada lemas di rumah. Ini berlaku sekiranya anak damit tertutup muka dengan selimut, bantal atau anak patung yang ada di sekeliling mereka. Tanpa pemantauan ibu bapa menyebabkan anak damit sukar bernafas dan menyebabkan mereka lemas.

7. Renjatan elektrik

Sifat semula jadi anak damit suka memasukkan apa saja ke dalam mulut mereka. Oleh itu pastikan ibu bapa menyimpan semua perkakasan elektrik yang sudah rosak, meletakkan di kawasan yang sukar dicapai anak-anak dan menutup semua suis selepas digunakan. Elakkan si kecil menjilat plug, atau suis kerana air liur anak damit boleh menyebabkan berlaku renjatan elektrik.

Tindakan awal di rumah

Menurut Dr K Sashetheran, untuk setiap kemalangan membabitkan pendarahan perkara paling utama dilakukan adalah mengurangkan pendarahan dan pergerakan. Terdapat perbezaan di antara darah yang keluar secara memancut dan juga mengalir biasa.

“Darah memancut terhasil daripada arteri dan tidak perlu dibasuh. Untuk menghentikan pendarahan, tekan kuat kawasan luka atau mengikatnya dengan kain. Ia berbeza dengan darah biasa yang perlu dicuci dan dibalut kain,” katanya.

Untuk tulang patah, elakkan pergerakan terlalu banyak. Apa yang boleh dilakukan adalah ambil surat khabar, buku atau kayu kemudian ikat pada tangan atau kaki supaya bahagian terbabit tidak bergerak.

“Konsep yang cuba saya jelaskan adalah bantuan kecemasan perlu diberi bagi mengurangkan pergerakan mangsa dan bahagian itu tidak menjadi lebih teruk sebelum dibawa ke hospital,” jelasnya.

Untuk melecur akibat terbakar sama ada terkena air panas, api atau minyak, caranya mudah saja. Alirkan air sejuk pada bahagian melecur selama 20 hingga 30 minit. Buangkan bahagian kain menutupi kesan terbakar bagi mengelak ia melekat pada kulit.

Jangan cuba meletak sebarang produk dengan harapan mampu mengurangkan kesakitan seperti ubat gigi atau tepung. Begitu juga sekiranya terkena bahan kimia. Cara paling berkesan adalah dengan mencucinya dengan mengalirkan air ke atas kawasan cedera seberapa lama yang boleh.

“Bagi yang terminum bahan mengandungi racun, bawa mangsa secepat yang boleh ke hospital. Pernafasan menerusi mulut ke mulut atau CPR wajar dipelajari ibu bapa kerana ia adalah bantuan asas sementara menunggu ambulans sampai,” katanya.

Apa yang penting?

1. Pastikan menyimpan ais di rumah kerana ia boleh digunakan untuk merawat bengkak.

2. Peti kecemasan diisi lengkap dengan barang asas seperti kapas, minyak dan pembalut luka.

3. Belajar teknik asas bantuan kecemasan seperti bantuan pernafasan (CPR) dan cara merawat pendarahan.

4. Jangan panik! Segera telefon nombor kecemasan sebelum membuat sebarang rawatan. Ini memastikan ambulans tiba cepat.

5. Cegah kemalangan. Elakkan ia berulang kembali di rumah. – Agensi

SAHAM
Terdahulu51 maut, bas remuk
Seterusnya19 bakal berdepan hukuman