Ibu bapa remaja tembak rambang diikat jamin AS$1j

WASHINGTON, 5 DIS – Ibu bapa remaja berusia 15 tahun yang menembak mati empat pelajar di sekolah tinggi Amerika Syarikat (AS), menggunakan senjata dibeli bapanya, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pembunuhan beramai-ramai tanpa niat.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, seorang hakim di Michigan menetapkan jaminan AS$1 juta.

James dan Jennifer Crumbley, ibu bapa suspek yang melepaskan tembakan, Ethan Crumbley, ditahan polis selepas berjaya menjejaki mereka di sebuah bangunan industri, dekat Detroit, kira-kira 65 kilometer dari lokasi kejadian di Oxford.

Kedua-dua pasangan itu dianggap sebagai pelarian, selepas dilaporkan membuat pengeluaran wang tunai AS$4,000 dan mematikan telefon bimbit mereka.

Bagaimanapun, peguam bela kedua-dua pasangan terbabit memaklumkan mahkamah bahawa klien mereka sudah membuat keputusan untuk menyerah diri.

Syerif Daerah Oakland, Michael Bouchard, memberitahu pemberita dalam sidang media semalam bahawa kedua-dua pasangan terbabit seakan mendapat bantuan untuk bersembunyi daripada dikesan oleh polis. – AP

Gambar serahan Pejabat Syerif Oakland menunjukkan James dan Jennifer Crumbley, ibu bapa remaja yang dituduh membunuh empat pelajar di Sekolah Tinggi Oxford, mengaku tidak bersalah atas dakwaan membunuh pada 4 Disember. – AP