Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Ibu bapa teras pembentukan keluarga sakinah

    Oleh Yusrin Junaidi

    Ibu bapa merupakan ahli keluarga yang berperanan penting dalam mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah dan juga merupakan agen pembentukan sahsiah anak-anak dengan menyediakan persekitaran yang sihat dan Islamik.

    Perkara ini diketengahkan dalam ucapan, pengerusi Bengkel Kemahiran Keibubapaan Islam kali kedua, Dr Haji Sham bin Haji Amin yang berlangsung di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), baru-baru ini.

    Bengkel berkenaan merupakan anjuran Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, KUPU SB, yang disertai oleh seramai 42 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari KUPU SB, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pengajian Islam dan Jabatan Hal Ehwal Masjid Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Dr Haji Sham dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan banyak terjadi kes kekeluargaan yang menyumbang kepada gejala sosial yang di antaranya ialah isu keibubapaan.

    Kajian lepas menunjukkan, faktor keruntuhan moral dan gejala sosial berpunca daripada krisis keluarga.  Kegagalan ibu bapa menyempurnakan amanah, tugas dan tanggung jawab masing-masing menjadi faktor keruntuhan institusi kekeluargaan dan keruntuhan akhlak anak muda dan remaja.

    Dr Haji Sham ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa bengkel berkenaan.
    Profesor Madya Dr Muhammad Yusof menyentuh mengenai penerapan nilai akhlak mengikut sunnah dalam institusi keluarga.
    Antara yang mengikuti bengkel yang diadakan selama dua hari di Dewan Tarbiah, KUPU SB.
    Ibu bapa merupakan ahli keluarga yang berperanan penting dalam mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.

    Beliau juga turut menyentuh mengenai teknologi maklumat dan siber banyak mempengaruhi cara tarbiah anak-anak. Sebagai generasi akan datang, pendidikan kekeluargaan perlu mendominasi pembentukan sahsiah anak-anak kerana setiap anak dilahirkan suci secara fitrah. 

    Jelasnya juga faktor persekitaran juga memainkan peranan dalam menjana generasi berwawasan yang berilmu, berakhlak dan dinamik. Salah satu peranan utama institusi keluarga ialah melahirkan generasi yang berdisiplin dan bertanggungjawab dan dapat mendepani dan mengatasi pelbagai isu sosial masa kini.

    Bengkel selama dua hari itu dimulakan dengan pembentangan dua modul dengan mengetengahkan beberapa tajuk yang dibincangkan termasuk ‘Penerapan nilai akidah dan akhlak mengikut sunnah dalam institusi keluarga’, ‘Pendidikan jasmani, rohani dan mental melahirkan keluarga bahagia’, ‘Menangani kemelut pasangan dan keluarga: pencegahan dan penyelesaiannya’, ‘Amalan tingkahlaku, keprihatinan dan asuhan yang stabil dalam keluarga’, dan sebagainya yang disampaikan oleh fasilitator terdiri daripada tenaga akademik KUPU SB. 

    Dalam modul pertama yang disampaikan oleh Prof Madya Dr Muhammad Yusof bin Khalid dari Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah berkaitan penerapan nilai akidah dan akhlak mengikut sunnah dalam institusi keluarga menjelaskan nilai-nilai akhlak mulia atau ketaatan batin termasuk taubat, takut kepada Allah SWT, zuhud, sabar, syukur, ikhlas dan jujur, bertawakkal, reda atas Qadha dan Qadar, ingat mati dan sebagainya. 

    “Sebaliknya, nilai-nilai akhlak buruk yang perlu dijauhi termasuk tamak, bercakap, pemarah, hasad dengki, bakhil dan cinta harta, cinta dunia, sombong dan lain-lain lagi.

    “Selain daripada membentuk ahklak diri sendiri, turut perlu diterapkan ialah akhlak kepada Nabi Muhammad SAW, akhlak kepada sesama manusia dan kepada binatang dan tumbuhan. Dalam membina keluarga bahagia ada beberapa ilmu agama yang penting untuk dicari dan diamalkan iaitu Akidah, Fiqah dan Akhlak Tasawuf,” jelasnya.

    Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Madya Dr Muhad Zahiri bin Awang Mat turut menerangkan mengenai  pendidikan jasmani, rohani dan mental dalam keluarga, menyatakan selain daripada aspek rohani, kesihatan mental dan tubuh badan yang sihat juga penting untuk membentuk keluarga bahagia.

    “Dari aspek rohani, antara amalan yang boleh dilaksanakan ialah solat dan berdoa bersama ahli keluarga, saling memberi nasihat ke arah kebaikan, mendalami ilmu dan ibadah bersama keluarga. 

    “Bagi aspek jasmani, keluarga perlu meluangkan masa bersama beriadah, makan daripada sumber rezeki yang halal dan berkhasiat dan ringan tangan. Seterusnya bagi aspek mental, perlunya ada perasaan hormat menghormati, bertolak ansur, bermaafan, berbincang dan mendalami ilmu dunia akhirat bersama,” jelas beliau. 

    Pada sebelah petang, bengkel diteruskan dengan perbincangan berkaitan amalan tingkah laku keprihatinan dan asuhan yang stabil dalam keluarga oleh Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed yang menjelaskan antara ciri-ciri keluarga yang sihat termasuk mempunyai sumber kuasa yang sah dalam keluarga yang dihormati dan memberi sokongan setiap masa,mempunyai sistem peraturan keluarga yang stabil dan konsisten. Turut dijelaskan gaya asuhan keibubapaan yang boleh mempengaruhi keperibadian anak seperti gaya asuhan permisif, autoritatif dan autoritarian. 

    Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan dari Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah juga turut membincangkan mengenai kemelut pasangan dan keluarga menjelaskan antara faktor yang menyumbang kepada pertelingkahan dalam keluarga boleh dibahagi kepada dua iaitu faktor dalaman seperti tidak sefahaman, kurang amalan agama, tekanan beban kerja dan sikap. 

    Tambahnya, faktor luaran pula termasuk campur tangan keluarga secara berlebihan dan masalah ekonomi. Oleh itu, perlunya usaha bersama untuk meneguhkan akidah yang boleh mendorong kebahagiaan rumah tangga, komunikasi yang efektif, sikap bertolak ansur dan lemah lembut, jujur dan mengamalkan kata-kata pujian, meluangkan masa bersama, saling memberi serta memberikan sentuhan dan belaian. 

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...