Assalamualaikum buat para pembaca budiman dalam ruangan khas ini. Perkongsian kisah kali ini adalah sekadar untuk dijadikan iktibar dan renungan buat semua.
Kisah yang ingin saya nukilkan ini baru saja berlaku dalam dua minggu yang lalu, di mana ketika itu saya dan pasangan saya bertandang ke rumah mentua kami di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Perpindahan Lambak Kiri atas panggilan darurat atau kecemasan kerana menurut adik ipar saya, ibu ketika itu sedang dalam kondisi ‘nazak’ dan semua ahli keluarga yang berkenaan pun sudah dihubungi untuk berkumpul di sana.
Singkat cerita, setibanya saya bersama isteri ke rumah mertua kami, ternyata ibu sudah dijemput Ilahi lebih awal sebelum kedatangan kami dan sedihnya, kami tidak sempat pun untuk menyapa atau mengucap salam terakhir buat ibu.
Namun, sejurus kedatangan kami itu, ada satu kejadian yang tak terduga berlaku di hadapan kami bersama sanak saudara yang hadir di situ. Kesunyian yang memenuhi ruangan yang penuh hiba itu tiba-tiba dikejutkan dengan suara amukan daripada salah seorang adik-beradik belah isteri saya yang sulung. Dengan nada yang keras, beliau memecah suasana dengan berkata, “Kediaku yang paling sulung dalam adik-beradik ani, patutnya aku yang dapat hak lebih tanah milik mama atu bukannya si bungsu ani…ani inda adil, barang ani mesti jua settle malam ani, inda ku kira.”
Sebagai menantu, saya hanya mampu melihat dengan perasaan sedih dan kecewa. Isteri saya kelihatan semakin tertekan. Saya memegang tangannya, memberi isyarat agar dia bertenang. Dalam kekalutan itu, bapa mertua saya keluar dari bilik dan cuba menenangkan keadaan dengan suara tegas namun lembut.
Namun, adik-beradik yang sulung tetap tidak mahu mengalah dan mengancam untuk membawa kes ke mahkamah. Melihat keadaan semakin genting, saya memberanikan diri untuk mencadangkan agar perbincangan ditangguhkan.
Setelah beberapa saat yang tegang, semua akhirnya bersetuju untuk menangguhkan perbincangan mengenai pembahagian harta. Keadaan kembali tenang, dan kami semua kembali memberi tumpuan kepada majlis tahlil dan doa buat arwah mentua. Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua.
Luqman
NASIHAT DANG MP
Terima kasih atas perkongsian tersebut dan tindakan saudara Luqman untuk meleraikan perbalahan dalam konflik keluarga sebelah isteri juga tepat.
Adalah tidak sesuai untuk membicarakan hal-hal tanah waris semasa jasad orang tua mereka masih lagi ada di sana.
Seharusnya sebagai anak, mereka perlu menghormati arwah ibu mereka sehinggalah urusan pengebumian selesai dijalankan.
Saudara juga perlulah menasihati ipar-ipar agar mereka merujuk kepada pihak berkenaan tentang hal-hal tanah waris dan faraid.