Ibu dipenjara seumur hidup bunuh anak

FRANKFURT, 4 NOV – Sebuah mahkamah di Jerman hari ini menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang wanita

kerana membunuh lima daripada enam anaknya, dalam kes yang disifatkan pendakwa sebagai ‘berniat jahat.’

Ibu berusia 28 tahun itu, dikenali sebagai Christiane K., didapati bersalah melemaskan anaknya dalam tab mandi pada September 2020.

Mayat tiga anak perempuannya, berusia satu, dua dan tiga tahun, dan dua anak lelakinya berusia enam dan lapan tahun ditemui terbaring di atas katil, masing-masing dibalut dalam tuala di pangsapuri keluarga di bandar Solingen.

Wanita itu cuba bunuh diri dengan menghumban dirinya di depan sebuah kereta api di stesen Duesseldorf, tetapi dia diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan parah.

Anak keenamnya, seorang lelaki berusia 11 tahun pada masa itu, terselamat daripada kejadian ngeri itu kerana dia berada di sekolah.

Pendakwa berkata ibu itu mencampur ubat dalam minuman sarapan budak untuk membuat mereka mengantuk, sebelum membunuh mereka. – AFP