INI bukan suatu perkara baharu kerana hampir setiap tahun pasti ada sahaja golongan ibu hamil yang bimbang dengan keadaan diri dan juga anak dalam kandungan setiap kali Ramadan menjelang.
Hampir kebanyakan daripadanya mahu berpuasa namun terdapat beberapa kebimbangan yang sentiasa difikirkan.
Tahap kekuatan diri dan kesihatan anak dalam kandungan mungkin antara penyebab kebimbangan ini. Ramai juga yang tertanya-tanya mengenai risiko berpuasa kepada anak dalam kandungan. Ramai wanita hamil yang berasa bimbang tidak dapat berpuasa kerana memikirkan keselamatan anak dalam kandungan.
Dalam Islam, puasa ketika hamil diharuskan untuk berbuka apabila di dalam dua keadaan iaitu apabila berpuasa dapat membahayakan kesihatan diri atau membahayakan kesihatan kandungan.
Dari segi kesihatan pula, ibu hamil dan kandungan yang sihat selepas trimester pertama boleh berpuasa jika hendak berpuasa. Jika berasa lemah atau loya, hendaklah berbuka puasa. Malah, jika anda berasa sihat, tetapi ada tanda yang membimbangkan, sebaiknya dicadangkan agar berbuka puasa demi kesihatan diri, kandungan atau anak damit yang disusukan.


Jangan paksa diri berpuasa (bagi ibu mengandung) jika ada lapan tanda ini:
Di sini terdapat beberapa tanda ibu mengandung patut berbuka dan tidak meneruskan puasa ketika hamil:
1. Mabuk hamil yang teruk
Wanita yang berada pada awal fasa kehamilan, ada kalanya mengalami masalah mabuk hamil yang teruk. Jika keadaan berlarutan sehingga menyebabkan kekurangan tenaga, maka disarankan berbuka sahaja.
Hal ini kerana apabila sudah muntah-muntah, tenaga dari makanan yang diambil hilang dan boleh menyebabkan mudarat pada janin.
2. Menghidap diabetes
Menurut Malaysian Medical Gazette, wanita mengandung yang menghidap diabetes Jenis I, II dan Gestasi perlulah berbincang dengan pakar perubatan dan pegawai dietetik berkenaan ubat dan diet yang sesuai semasa berpuasa. Sekiranya tidak memerlukan rawatan metformin atau insulin, boleh berpuasa jika boleh terus mengawal bacaan gula di dalam darah pada bulan puasa.
Masalahnya bukanlah bacaan gula semasa berpuasa tetapi bacaan gula yang tinggi melambung selepas berbuka, sebelum sahur dan selepas sahur. Adalah disyorkan untuk mengambil bacaan gula dua jam selepas berbuka puasa, sebelum sahur dan dua jam selepas sahur. Jika dua jam selepas makan bacaannya melebihi 6.7, sila berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat metformin. Tetapi jika bacaan masih tinggi juga selepas menerima rawatan metformin, lebih baik tidak berpuasa dan kawal semula pemakanan seperti sebelum bulan puasa.
3. Demam, rasa sejuk, lemas, menggigil dan berpeluh
Jangan paksa diri untuk puasa ketika hamil sekiranya kaum ibu mempunyai masalah kesihatan seperti demam. Situasi lain yang perlu diambil berat oleh ibu hamil ialah apabila mengalami hipoglisemia iaitu kandungan gula dalam darah rendah.
Jika badan mula berasa lemas, menggigil, berpeluh dingin dan pandangan kabur, maka dinasihatkan untuk berbuka puasa. Adalah dinasihatkan juga untuk berbuka jika badan mengalami dehidrasi dengan simptom berpeluh dingin dan cirit- birit.


4. Masih dalam tempoh pengambilan ubat
Sekiranya pengambilan ubat perlu dipatuhi untuk elakkan kemudaratan pada janin, adalah lebih baik untuk tidak berpuasa terlebih dahulu.
Namun sekiranya kesihatan anda normal dan ingin cuba untuk puasa ketika hamil, dapatkan pendapat daripada doktor untuk pengambilan dos yang lebih tepat sepanjang waktu berpuasa.
5.Ibu menyusui atau tidak menyusui yang masih berpantang
Bagi ibu menyusui terutamanya yang masih berpantang atau baru lepas berpantang, minta nasihat daripada doktor untuk pengurusan kesihatan yang baik dan pastikan doktor memberi ‘lampu hijau’ untuk berpuasa.
6. Kurangnya susu badan secara mendadak
Apabila anda telah mencuba pelbagai ikhtiar tetapi susu badan tetap berkurangan dengan mendadak sewaktu berpuasa, anda dicadangkan untuk berbuka puasa demi kebaikan anak damit. Lebih-lebih lagi sekiranya anak damit itu bergantung 100 peratus pada susu badan sebagai diet utamanya ketika itu. Dalam Islam juga, selain wanita mengandung, wanita menyusui juga diharuskan berbuka puasa.
7. Pergerakan anak damit berkurang
Jika pergerakan janin berkurangan (selepas 28 minggu kehamilan), hendaklah berbuka puasa dan terus ke hospital untuk penilaian CTG dan ultrabunyi untuk menilai pembesaran janin.
8.Hampir tarikh pengeluaran atau bersalin
Melahirkan anak memerlukan banyak tenaga di bilik bersalin nanti. Oleh itu, ibu mengandung dinasihatkan untuk tidak berpuasa ketika sudah hampir ‘due date’. Persiapkan diri secukupnya dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi waktu melahirkan anak nanti.
Puasa ketika hamil perlu nasihat doktor
Patuhi panduan penjagaan pemakanan dan kesihatan daripada doktor untuk perkembangan anak damit yang sihat dan kesihatan diri yang konsisten. Puasa Ramadan mempunyai seribu satu kebaikan bagi umatnya, namun Islam adalah agama yang syumul dan jauh sekali membebankan umatnya. Jadi, janganlah membebankan diri jika anda mengalami masalah kesihatan dan tidak dapat menjalankan ibadah puasa.
Berpuasa atau tidak, ibu hamil perlu menitikberatkan kesihatan bagi kebaikan diri dan anak dalam kandungan. Lebihkan pemakanan yang berkhasiat dan minum air secukupnya bagi kesihatan menyeluruh. Elakkan dari pengambilan makanan bergula dan bergaram dengan banyak. – Agensi