Ibu Janna Nick tergores hati baca komen warganet

Kejayaan Janna Nick merangkul gelaran Bintang Paling Popular di malam Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABPBH34) pada Sabtu lalu cukup membanggakan keluarga tersayang.

Melihat sendiri perjalanan berliku yang dilalui sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam industri seni, ibunya Shahzani atau lebih mesra disapa Mama Scha, berkata Janna seorang anak yang bertanggungjawab dan mengutamakan keluarga.

Menyedari anak keduanya itu sering dihimpit kontroversi, Scha mengambil keputusan untuk tidak membuka media sosial kerana bimbang hatinya tergores dengan pelbagai komen jahat yang ditulis warganet.

“Kemenangan ini paling bersejarah, hampir 10 tahun dia bekerja keras, apa yang saya nampak dia anak bertanggungjawab, berusaha untuk bahagiakan keluarga, memang Allah luaskan rezeki untuk dia.

“Walaupun selama ni ramai orang kecam dia, saya tak boleh tengok media sosial sangat sebab hati saya memang pedih kalau tengok orang kutuk dia tapi saya kenal dia macam mana.

“Nampak dia keras tapi hati dia lembut, saya memang tak boleh nak tengok media sosial, nampak berita tentang dia saya tak boleh tahan!” katanya.

Ibu berusia 48 tahun itu berkongsi luahan hatinya menerusi rakaman video berdurasi 10 minit yang dimuat naik Janna di saluran YouTube baru-baru ini.

Dalam rakaman tersebut, ibu kepada empat anak ini dilihat sebak sehingga menitiskan air mata mengenang perjalanan sukar Janna sepanjang berada dalam industri seni.

Dalam pada itu, Mama Scha berkata dia tidak henti-henti mendoakan agar urusan Janna dipermudahkan dan pekerjaan yang dilakukan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain. – Agensi

Mama Scha mendedahkan Janna Nick sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dan mengutamakan keluarga. – Agensi