Ibu maut, anak parah nahas pulang beli buku sekolah

KUCHING, 1 Jan – Seorang wanita maut manakala anaknya parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka berlanggar dengan sebuah

kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam satu kemalangan di lampu isyarat Jalan FAC Matang/Telaga Air dekat sini, pagi tadi.

Lebih memilukan kejadian kira-kira 11:15 pagi itu dipercayai berlaku selepas mangsa, Habibah Abi, 43, serta anaknya Mohammad Sapiee Johari, 18, dalam perjalanan pulang selepas selesai membeli buku untuk sesi persekolahan di sebuah sekolah berhampiran lokasi kejadian.

Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, ASP Mathew Manggi berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kenderaan MPV jenis Toyota Avanza dari arah Kuching menuju ke Lundu telah melanggar motosikal dari arah Telaga Air menuju ke Jalan Matang Lama.

“Pertembungan itu menyebabkan Habibah yang membonceng motosikal meninggal di tempat kejadian, manakala Mohammad Sapiee cedera parah,” katanya.

Sehubungan itu Mathew memohon saksi yang melihat kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan. – Bernama