Ibu pejabat baharu Serikandi di bangunan bersejarah Pekan Belait

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 21 DIS – Bangunan bersejarah dan terkenal di Pekan Belait, sebelumnya bangunan kosong, kini menjadi Ibu Pejabat Serikandi yang dibuka hari ini dengan majlis pembukaan awal dan bacaan Doa Selamat.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Serikandi, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad yang dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Serikandi Oilfield Services, Revi Thuruthiyil Bhaskaran.

Dalam ucapan pembukaannya, Shaikh Haji Khalid menyatakan bahawa ibu pejabat baharu itu bermatlamat untuk mencapai tanggungjawab syarikat dalam menubuhkan infrastruktur yang diperlukan bagi kakitangan mereka dengan menyediakan persekitaran kerja yang menarik.

“Dengan pertumbuhan Serikandi mencecah jubli emas, kita menggambarkan kematangannya hari ini dengan melihat pada kualiti kerja baik yang telah dihasilkan oleh orang-orang kita,” ujarnya.

Sementara itu, Revi Thuruthiyil Bhaskaran juga melihat kembali sejarah syarikat berkenaan serta mengetengahkan kepentingan bangunan berkenaan dan bagaimana ia memainkan peranan dalam membentuk latar langit dan sejarah pekan berkenaan.

Shaikh Haji Khalid bersama pasukan pengurusan Serikandi bergambar ramai di hadapan bangunan ibu pejabat baharu berkenaan.
Shaikh Haji Khalid ketika meninjau pejabat dan pelbagai kemudahan di bangunan baharu berkenaan.

Majlis juga menyaksikan tayangan video ringkas yang mengetengahkan perjalanan bersejarah syarikat dan bangunan ikonik tersebut.

Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada pelbagai bahagian di Kumpulan Serikandi yang menyumbang kepada penyiapan ibu pejabat baharu berkenaan, yang seterusnya diikuti dengan tinjauan ke pejabat baharu tersebut dan pelbagai kemudahan yang terdapat di dalamnya sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama bangunan tersebut.

Ibu pejabat baharu berkenaan mempunyai keluasan 5,153 meter persegi yang merangkumi empat tingkat serta tingkat bawah tanah.

Tingkat dua dan tiga bangunan berkenaan kini menampung 160 kakitangan Serikandi sementara itu, tingkat bawah dan pertama pula masih dalam pengubahsuaian yang dijangka siap sekitar tahun depan.