LABUAN, 23 Ogos – Pembinaan ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan yang bernilai RM40 juta dijangka siap Januari depan.
Pengarah JBPM Labuan Zainal Madasin berkata bangunan yang didirikan di atas tapak berkeluasan 5.6 hektar itu akan dilengkapi peralatan terkini.
Projek yang dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 itu adalah antara 16 balai bomba yang diluluskan di seluruh negara dengan pembinaannya bermula awal tahun ini dan kini lebih 52 peratus siap, katanya kepada Bernama selepas melawat tapak projek tersebut hari ini. Beliau berkata bangunan itu juga akan dilengkapi dengan bilik operasi kecemasan bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas yang semakin berkembang di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha.
Selain itu, Zainal berkata JBPM Labuan juga akan dilengkapi unit helikopter dan pihaknya sedang berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Berhad bagi tujuan penempatan helikopter tersebut. – Bernama